Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Sarang burung walit RM81.8 juta dirampas dalam 10 serbuan di Sarawak
  • TEMPATAN

Sarang burung walit RM81.8 juta dirampas dalam 10 serbuan di Sarawak

Utusan Sarawak 4 hours ago
PENGARAH JKDNKA Bukit Aman, CP Dato’ Sri Mohd Yusri Hassan Basri (tengah) menunjukkan barangan rampasan bernilai dianggarkan RM81.8 juta dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Sarawak.

KUCHING: Sarang burung walit dianggarkan bernilai RM81.8 juta dirampas dalam 10 serbuan di Sarawak menerusi Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) antara 1 hingga 16 Jun lalu, melibatkan rampasan berskala besar yang dipercayai untuk pasaran eksport luar negara.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, CP Dato’ Sri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi itu turut membawa kepada penahanan enam individu membabitkan lelaki, wanita serta warga asing.

“Semua premis yang diserbu merupakan premis rumah yang dijadikan lokasi pemprosesan dan penyimpanan sarang burung walit, bukan habitat semula jadi seperti gua.

ANTARA sarang burung walit belum diproses yang dirampas dalam 10 serbuan di Sarawak dianggarkan bernilai RM81.8 juta yang dipercayai untuk pasaran eksport luar negara. Foto Adele Rissa 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 33(1) dan Seksyen 33(2) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998, manakala rampasan dibuat di bawah Seksyen 48(1) ordinan sama. 

“Kesemua tangkapan telah diserahkan kepada Perbadanan Perhutanan (SFC) untuk tindakan lanjut,” katanya.  

Beliau berkata demikian pada sidang media Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak, hari ini. 

Secara keseluruhan, Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) bagi tempoh sama merekodkan 70 kertas siasatan dengan penahanan 62 individu di seluruh negara, dengan nilai rampasan dan sitaan dianggarkan RM98.4 juta.

 ANTARA spesies haiwan eksotik yang dirampas dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Sarawak bernilai dianggarkan RM81.8 juta. Foto Adele Rissa 

Antara rampasan utama dalam operasi itu ialah 16,367 kilogram sarang burung walit, 223 ekor pelbagai spesies burung, lapan ekor burung helang, dua ekor tenggiling, 790 biji telur penyu, 4,238 ekor kura-kura, sembilan mamalia pelbagai spesies, 218 ekor axolotl, 116 ekor ikan eksotik, 959 ekor ayam sabung, 7,600 batang anak pokok pelbagai spesies dan 1,673 batang kayu balak.

Operasi itu diselaraskan oleh Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) di bawah JKDNKA dengan sokongan pelbagai elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP).

Ia turut dilaksanakan dengan kerjasama agensi penguat kuasa termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Perbadanan Perhutanan (SFC), Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jabatan Perhutanan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) serta Jabatan Perikanan Malaysia.

Dalam pada itu, bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun tahun ini, JKDNKA merekodkan 255 kes di seluruh negara dengan penahanan 352 individu serta nilai rampasan dan sitaan mencecah RM234.8 juta.

Oleh Adele Rissa 

Continue Reading

Previous: Rumah Rehat Betong bernilai RM10 juta capai 65 peratus kemajuan, siap tahun depan
Next: Perantis lonjak wanita kuasai kemahiran dan keusahawanan – Nancy

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.