Buat pelbagai kerja sara tiga anak, Pija Yasin rancang kembali berkarya

Facebook
WhatsApp
PENYANYI Pija atau nama sebenarnya Norafizah Mohd Yasin bercakap ketika sidang media pada program BANGKIT: Bakat Yang Tak Pernah Padam-Kempen Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Apresiasi Bakat Seni baru-baru ini. Pija berkata peluang menyertai program BANGKIT menjadi ruang terbaik untuk membuka semula langkah dalam industri seni, selain mengembalikan keyakinan untuk berhadapan dengan peminat dan penggiat media. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 November: Demi memastikan kelangsungan hidup dan masa depan tiga cahaya matanya terjamin, penyanyi Pija Yasin tidak pernah memilih kerja selepas bergelar ibu tunggal lebih empat tahun lalu.

Pija atau nama sebenarnya Norafizah Mohd Yasin, 38, berkata perpisahan yang berlaku selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga menuntutnya menjadi lebih cekal serta berani mencuba pelbagai bidang lain.

“Apa sahaja yang saya rasa mampu buat, saya teruskan. Kalau tak pandai sekalipun, saya belajar asalkan rezeki itu halal,” katanya kepada Bernama selepas sidang media program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seni, BANGKIT: Bakat Yang Tak Pernah Padam, di sini baru-baru ini.

PENYANYI Pija atau nama sebenarnya Norafizah Mohd Yasin membuat persembahan pada program BANGKIT: Bakat Yang Tak Pernah Padam-Kempen Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Apresiasi Bakat Seni baru-baru ini. Foto BERNAMA

Menyedari tawaran nyanyian tidak serancak dahulu selain tidak mempunyai pendapatan tetap, juara Mentor musim pertama itu memanfaatkan pelbagai kemahiran untuk menampung keperluan keluarga, termasuk menguruskan acara, menjual mutiara dan berniaga pakaian setiap kali Ramadan.

Beliau juga mengambil tempahan masakan pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat dengan menawarkan hidangan seperti ayam kari, sambal, kicap, masak lemak dan sayur, selain sedia menerima tempahan untuk tujuan infak.

Mengakui ada kalanya berasa lemah dan kecewa ketika berdepan cabaran kehidupan, Pija berkata keyakinan kepada Allah SWT dan tekad untuk memberikan masa depan yang lebih baik kepada anak-anak menjadi kekuatan untuknya bangkit semula.

PENYANYI Pija atau nama sebenarnya Norafizah Mohd Yasin bercakap ketika sidang media pada program BANGKIT: Bakat Yang Tak Pernah Padam-Kempen Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Apresiasi Bakat Seni baru-baru ini. Foto BERNAMA

“Bila fikirkan anak-anak dan masa depan mereka, semangat itu datang balik. Saya yakin, kalau kita betul-betul percaya rezeki itu datangnya daripada Allah SWT, insya-Allah jalan itu sentiasa ada,” katanya yang turut bersyukur kerana beliau dan bekas suami kini mula mendapat rentak dalam menguruskan penjagaan anak-anak.

Dalam pada itu, Pija berkata meskipun jarang muncul di media arus perdana sejak mendirikan rumah tangga pada 2014, minatnya terhadap bidang seni suara tidak pernah pudar.

Katanya, peluang menyertai program BANGKIT menjadi ruang terbaik untuk kembali mengatur melangkah dalam industri seni, selain membina semula keyakinan berhadapan dengan peminat dan penggiat media.

PENYANYI Pija atau nama sebenarnya Norafizah Mohd Yasin bergambar selepas program BANGKIT: Bakat Yang Tak Pernah Padam-Kempen Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Apresiasi Bakat Seni baru-baru ini. Foto BERNAMA

“Insya-Allah, selepas ini saya memang ada perancangan untuk kembali berkarya. Saya ada beberapa perancangan yang mahu dilaksanakan secara berperingkat. Saya harap peluang menerusi program ini menjadi permulaan baik untuk mengembangkan semula kerjaya seni,” katanya yang berharap tahun ini menjadi tahun terbaiknya untuk kembali bergerak aktif dalam industri.

Pija turut meluahkan rasa syukur dan terharu apabila sesi siaran langsung menerusi platform TikTok mendapat sambutan positif dengan jumlah tontonan sering mencecah lebih 400 orang.

“Ramai pengikut di situ masih mengenali saya dan ada yang minta saya nyanyikan semula lagu Luka. Dari situ saya cari balik minus one dan mula menyanyikannya semula…saya sangat rindukan suasana membuat persembahan di depan peminat,” katanya.- Bernama