SAR hari ketiga diteruskan, kesan lelaki hilang ketika berburu di Padawan

Facebook
WhatsApp
MOTOSIKAL jenis Modenas berwarna biru milik mangsa ditemukan di kawasan hutan berkenaan. Foto JBPM.

KUCHING, 11 Oktober: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketiga hari ini bagi mengesan seorang lelaki berusia 53 tahun yang dilaporkan hilang ketika keluar berburu di kawasan hutan berhampiran Kampung Emperoh Jambu, Jalan Padawan.

Mangsa, Christie Fidelis Batest, dilaporkan keluar dari rumahnya pada 7.30 malam, 7 Oktober lalu, untuk berburu seorang diri dengan membawa senapang patah ke kawasan hutan di belakang rumah sepupunya, kira-kira tiga kilometer dari kediamannya.

Motosikal jenis Modenas berwarna biru milik mangsa ditemukan di kawasan hutan berkenaan, namun mangsa belum ditemukan selepas usaha pencarian dijalankan sejak operasi SAR dimulakan.

Laporan polis dibuat oleh adik mangsa pada 8 Oktober selepas usaha mencari di kawasan sekitar dan bertanyakan kepada jiran tidak berhasil.

Maklumat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menyatakan mangsa mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan jantung, manakala maklumat mengenai pakaian terakhir yang dipakainya tidak diperoleh.

Operasi SAR hari ketiga diteruskan bagi mengesan mangsa dengan pencarian di kawasan hutan sekitar lokasi motosikalnya ditemukan.

Komander Operasi, PBK I Ahmad Shah Sa’ad, mengetuai operasi yang turut melibatkan Ketua Balai BBP Siburan, PPgB Mohammad Imran Sabri.

Operasi turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Simpok, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 11 serta penduduk kampung.

Antara yang hadir ialah Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Barry William.

Seramai tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan digerakkan dengan sokongan sebuah jentera CFRT dan sebuah kenderaan EMRS.