SIBURAN, 23 November: Pihak pemaju perumahan diingatkan supaya tidak menggunakan jalan kampung sebagai laluan kenderaan berat bagi aktiviti pembangunan kerana boleh menjejaskan keadaan infrastruktur serta keselamatan penduduk setempat.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, penggunaan Jalan Kampung Sinjok oleh lori berat yang terlibat dalam aktiviti pembangunan perumahan masih berlaku walaupun beliau sebelum ini telah mengingatkan pihak pemaju supaya tidak menggunakan laluan berkenaan.
“Saya sudah lama mengingatkan pihak pemaju supaya tidak menggunakan jalan kampung sebagai laluan utama mereka, tetapi mereka mengambil kesempatan dengan menggunakan Jalan Sinjok,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Projek Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) di bawah DUN N20 Tarat bagi menaik taraf jalan Kampung Tijirak, Kampung Sinjok dan Kampung Siga di Dewan Kampung Tijirak, di sini, hari ini.

Menurutnya, penggunaan paip air yang menyalurkan bekalan ke kampung bagi tujuan pembangunan perumahan turut menimbulkan masalah apabila bekalan air kepada penduduk terjejas.
“Dahulu saya sudah mengingatkan supaya paip air yang membekalkan air ke kampung tidak digunakan untuk tujuan pembangunan, tetapi perkara itu masih berlaku,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap jabatan dan agensi berkaitan mengkaji semula perkara berkenaan serta mencari penyelesaian bersama pihak pemaju dengan mengambil kira pertambahan penduduk dan peningkatan penggunaan kemudahan infrastruktur.
Dalam perkembangan berkaitan, projek naik taraf jalan bernilai RM3 juta menerusi peruntukan GKCDA itu turut memberi tumpuan kepada aspek keselamatan pengguna serta masalah banjir yang sering berlaku di kawasan terbabit.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat itu menegaskan, pihak pelaksana bersama kontraktor dan perunding perlu memastikan kerja naik taraf mengambil kira keadaan laluan antara Kampung Sinjok dan Kampung Siga yang sering dinaiki air.

Sagah turut meminta pihak berkaitan memberi perhatian kepada masalah limpahan air sungai berhampiran gereja yang menyebabkan penduduk tidak dapat keluar dari kawasan berkenaan apabila paras air meningkat.
Di Kampung Tijirak, projek itu merangkumi kerja penurapan jalan persimpangan dari Lebuh Raya Pan Borneo ke Lorong Tijirak 9 sepanjang 1,260 meter, selain kerja pelebaran dan penurapan beberapa laluan di Lorong Tijirak 2, Lorong Tijirak 4 serta Lorong Tijirak 5.
Bagi Kampung Sinjok, penambahbaikan turut meliputi pelebaran dan penurapan Jalan Kampung Sinjok serta laluan di Lorong 1B. Sebuah laluan penghubung sepanjang 150 meter di Lorong 2B juga akan dibina dan diturap bagi melengkapkan jaringan jalan di kawasan berkenaan.
Sementara itu, penduduk Kampung Siga bakal menikmati kemudahan jalan yang lebih baik menerusi penurapan laluan dari Dewan Kampung Siga hingga ke Jalan Kampung Sumud sepanjang kira-kira 900 meter. Projek itu turut merangkumi pembinaan semula serta pemanjangan tembok gabion sepanjang kira-kira 120 meter bagi memperkukuh perlindungan cerun.
Kesemua kerja berkenaan dilaksanakan oleh kontraktor P.N.H Utama dengan tempoh siap yang ditetapkan selama 12 bulan.
Oleh Adele Rissa




