Sampah bersepah di Pusat Komersial Morjaya, konsep Miri bersih perlu dihayati

Facebook
WhatsApp
KOTOR...Sisa sampah lama dan baharu bersepah di kawasan kaki lima serta tempat letak kenderaan di Pusat Komersial Morjaya, sekali gus menimbulkan rungutan orang awam dan mencacatkan imej persekitaran bandar raya Miri.

MIRI, 23 November:  Masalah sampah yang bersepah di kawasan kaki lima dan tempat letak kenderaan di Pusat Komersial Morjaya di sini terus menimbulkan rungutan orang awam apabila keadaan sama dilaporkan berulang meskipun aduan pernah dibangkitkan sebelum ini.

Tinjauan Utusan Sarawak di lokasi mendapati sampah lama dan baharu termasuk bungkusan makanan, plastik serta bahan buangan lain bertaburan di kawasan kaki lima dan tempat letak kenderaan.

TIDAK TERURUS... Keadaan sampah yang bersepah di sekitar Pusat Komersial Morjaya, Miri, menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan orang awam.

Keadaan itu bukan sahaja mencacatkan pemandangan, malah menimbulkan persoalan mengenai tahap kebersihan dan tanggungjawab pihak berkaitan dalam memastikan persekitaran kawasan komersial sentiasa terpelihara.

Seorang pekerja swasta, Lim Hui Mei, 48, yang ditemui berkata, masalah berkenaan bukan perkara baharu kerana aduan mengenai kebersihan kawasan itu sudah beberapa kali dibangkitkan, namun keadaan masih berulang.

“Masalah sampah bersepah di kawasan ini bukan perkara baharu. Sampah lama dan baharu masih kelihatan di kaki lima serta tempat letak kenderaan.

“Kalau kita mahu melihat Miri sebagai bandar raya yang bersih, semua pihak perlu memainkan peranan. Kebersihan bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa, tetapi juga peniaga, pemilik premis dan orang ramai,” katanya.

Menurutnya, tindakan lebih berkesan perlu diambil bagi memastikan kawasan komersial berkenaan sentiasa bersih dan tidak terus menjadi lokasi pembuangan sampah.

Oleh Liong Chai Ling