BERBEKALKAN kejayaan cemerlang pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 Disember lalu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) berazam untuk memenangi kesemua 31 kerusi pada penampilan pertamanya untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ini bagi membolehkan suara anak Sarawak lebih kuat dan bergema di Parlimen.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi GPS berkata, jika semua yang dijangkakan menepati ramalan, tugas untuk memenangi kesemua kerusi Parlimen yang dipertandingkan di negeri ini boleh tercapai.
“Ini adalah pilihan raya pertama bukan seperti sebelum ini kerana GPS akan berdiri sendiri. Pertama dulu kita di bawah BN (Barisan Nasional). Ini adalah pilihan raya pertama kami berdiri sendiri (tanpa membuat pakatan dengan parti lain),” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi GPS baru-baru ini.
GPS adalah gabungan empat komponen parti iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Pada PRU-14, PBB bertanding di 14 kerusi Parlimen (menang 13 kerusi), SUPP (7) tapi cuma menang satu, PRS (6) menang tiga dan PDP (4) menang dua.
Pada satu majlis di Daro 23 Oktober lalu, Abang Johari yang juga Presiden PBB berkata masih terlalu awal untuk meramalkan kemenangan 31 kerusi itu.
“Bagaimanapun, berdasarkan sentimen di lapangan, kami dalam GPS telah membuktikan rekod prestasi kami dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memberi pengiktirafan kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC),” katanya.