Pelepasan benih siakap perkukuh pemuliharaan sumber perikanan Muara Tebas

Facebook
WhatsApp
DATUK Dr Hazland Abang Hipni pada Majlis Penutupan Pertandingan Memancing anjuran KRT Kampung Muara Tebas yang berlangsung di Jeti Muara Tebas, semalam. Foto Jabatan Perikanan Laut Sarawak

MUARA TEBAS: Pelepasan benih ikan siakap menjadi antara usaha penting dalam menyokong pemuliharaan serta pengayaan sumber perikanan, selain meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kelestarian ekosistem perairan.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, inisiatif berkenaan turut memperlihatkan komitmen berterusan dalam memastikan sumber perikanan dapat dipelihara untuk manfaat masyarakat dan generasi akan datang.

Menurutnya, program tersebut turut membuktikan jalinan kerjasama erat antara Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) dengan komuniti nelayan serta penduduk setempat.

“Kerjasama ini penting dalam menyokong usaha pemuliharaan sumber perikanan, kelestarian ekosistem perairan serta pembangunan sosioekonomi komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Pertandingan Memancing anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Muara Tebas yang berlangsung di Jeti Muara Tebas, semalam.

Pertandingan memancing yang julung kali dianjurkan di Muara Tebas itu turut diserikan dengan Majlis Pelepasan Benih Ikan Siakap yang disempurnakan oleh Dr Hazland.

HAZLAND Abang Hipni bergambar bersama pemenang Pertandingan Memancing anjuran KRT Kampung Muara Tebas di Jeti Muara Tebas, semalam. Foto Jabatan Perikanan Laut Sarawak

Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran pertandingan tersebut berpotensi menarik lebih ramai pengunjung ke Muara Tebas, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

Katanya, peningkatan kunjungan bukan sahaja memberi manfaat kepada penganjur, malah berpotensi meningkatkan pendapatan penduduk menerusi aktiviti perniagaan, makanan dan perkhidmatan berkaitan.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada JPLS atas sokongan serta bantuan yang diberikan bagi memastikan program berkenaan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Dr Hazland turut diiringi Pengarah Kanan JPLS, Abdul Rahman Abdul Wahab.

Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang sebagai penghargaan atas penyertaan, komitmen dan semangat yang ditunjukkan sepanjang pertandingan.

Turut hadir Ketua Kaum Kampung Muara Tebas, Sudin Rasit; Pegawai Perpaduan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Hamdi Omar; Pengerusi KRT Muara Tebas; Ketua Kampung Selabat; serta pegawai dan kakitangan JPLS dan penduduk Kampung Muara Tebas.

Oleh Adi Safarman