KAPIT: Hospital Kapit menerima sumbangan peralatan kesihatan daripada Syarikat Samling Resources, semalam.
Sumbangan tersebut diserahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram, Jefferson Jamit Unyat kepada Pengarah Hospital Kapit, Dr Ivan Vun.
Sumbangan tersebut berupa pelbagai peralatan perubatan dan kesihatan seperti topeng penutup hidung dan mulut (topeng pembedahan), pensanitasi tangan dan termometer laser.
Bercakap kepada pemberita, Jamit berterima kasih kepada Syarikat Samling Resources atas keprihatinan sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Hospital Kapit.
Katanya, Hospital Kapit, pejabat kesihatan daerah dan klinik kesihatan juga mendapat manfaat melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) Syarikat Samling Resources.
“Sebagai wakil rakyat, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Syarikat Samling Resources atas kemuliaan hati mereka yang menyokong usaha gigih untuk membendung penyebaran virus Covid-19.
“Terima kasih atas sumbangan topeng penutup hidung dan mulut kali kedua. Sebelumnya mereka menyumbangkan 50,000 topeng serupa kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kapit untuk diedarkan kepada semua petugas barisan hadapan.
“Hari ini, 60,400 keping topeng muka khas untuk petugas kesihatan. Ini adalah sokongan moral yang terbaik kepada petugas kesihatan yang bekerja dengan dedikasi untuk melindungi masyarakat daripada jangkitan virus Covid-19,” ujarnya.
Jamit turut berterima kasih kepada semua petugas barisan hadapan yang bekerjasama untuk membendung penyebaran virus ke Kapit.
“Kami sangat berterima kasih atas usaha tanpa lelah anda sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mencabar ini.
“Usaha kolektif anda membuahkan hasil dan kami di Kapit adalah zon hijau. Kita harus terus bersemangat sehingga berjaya mengatasi ancaman virus ini,” ujarnya lagi.
Sebanyak 60,400 keping topeng akan diedarkan kepada semua jabatan kesihatan dan klinik kesihatan di daerah Kapit, Song dan Belaga. Turut hadir Timbalan Residen Kapit, Galong Luang, Pegawai Daerah Kapit, Cerisologo Sabut, Pegawai Daerah Bukit Mabong, Douglas Pungga, Setiausaha Majlis Daerah Kapit (MDK) dan Pengarah Klinik Kesihatan Kapit, Dr Farhani Samat.