Demi tiga anak OKU, Abdul Rahman terus gagah mencari rezeki

Facebook
WhatsApp
ABDUL Rahman Meran menunjukkan Anugerah Khas Usahawan Mikro (Warga Emas) pada Majlis Penyampaian Anugerah Usahawan Mikro Kebajikan 2026 di Pusat Konvensyen MetroCity, hari ini.

PETRA JAYA, 4 Oktober: Pada usia 67 tahun, Abdul Rahman Meran masih gagah mengusahakan kolam ikan dan tanaman bagi memastikan kelangsungan hidup keluarganya, terutama tiga daripada lapan anaknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

Bapa kepada lapan anak itu berkata, tanggungjawab menjaga tiga anak OKU bersama isterinya yang merupakan suri rumah menjadi antara sebab utama beliau terus bekerja meskipun sudah berusia dan tidak mempunyai pencen.

Katanya, seorang daripada anaknya berdepan masalah mental, seorang lagi merupakan pembelajar perlahan sejak kecil, manakala seorang lagi sering mengalami sawan atau rebah apabila terdedah kepada cuaca panas.

“Anak saya lapan orang, empat sudah berkahwin. Yang sulung umur 40 lebih, manakala yang paling bongsu berusia 17 tahun dan bakal menduduki SPM.

“Namun, tiga orang anak OKU masih tinggal bersama kami. Seorang dari segi mental, seorang pembelajar perlahan sejak kecil dan seorang lagi selalu kena sawan atau rebah apabila panas,” katanya ketika ditemui selepas menerima Anugerah Khas Usahawan Mikro (Warga Emas) pada Majlis Penyampaian Anugerah Usahawan Mikro Kebajikan 2026 di Pusat Konvensyen MetroCity, di sini, hari ini.

Abdul Rahman berkata, keadaan itu membuatkannya tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada usia atau mengharapkan bantuan, sebaliknya perlu terus mencari sumber pendapatan bagi menyara keluarga.

Menurutnya, beliau tidak mempunyai pencen selepas mengambil keputusan berhenti awal daripada pekerjaannya di sebuah syarikat pembinaan sebelum menceburi bidang perniagaan dan pertanian.

“Bini pula sepenuh masa sebagai suri rumah. Jadi saya kena terus berusaha. Dulu ada seorang pembantu, tetapi apabila tanaman ubi keledik kena banjir, saya tidak mampu lagi membayar gajinya dan menyuruh dia mencari kerja lain,” katanya.

Abdul Rahman berkata, perjalanan sebagai usahawan juga bukan mudah apabila beberapa kali berdepan kerugian akibat banjir yang memusnahkan hasil pertanian serta menjejaskan kolam ternakannya.

Bagaimanapun, katanya, keadaan itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk bangkit semula kerana hasil daripada pertanian dan ternakan menjadi antara sumber utama pendapatan keluarganya.

“Saya tidak ada motivasi khusus, hanya semangat diri sendiri yang kuat untuk teruskan kerjaya sebagai petani. Kalau saya terus hilang perhatian terhadap pertanian, apa akan jadi kepada saya?

“Jadi saya tukar fikiran dan selepas banjir, saya baiki semula kolam,” katanya.

Beliau kini memberi tumpuan kepada ternakan ikan lampam jawa (Barbonymus gonionotus) dengan jumlah lebih 2,000 ekor dalam kolam yang dibina menggunakan simpanannya sendiri tanpa pinjaman.

Katanya, modal membangunkan kolam berkenaan mencecah lebih RM30,000, manakala hasil ternakan ikan memberikan pendapatan purata sekitar RM1,000 sebulan.

Selain itu, beliau turut mengusahakan ubi keledik yang dipasarkan secara pukal ke beberapa lokasi termasuk Serian, Kuching, Kubah Ria dan Matang.

Abdul Rahman berkata, pengalaman berdepan banjir tidak pernah membuatnya berputus asa, malah menjadi dorongan untuk mencari kaedah baharu bagi memastikan sumber pendapatan keluarganya terus bertahan.

Sebelum ini, beliau turut pernah mengusahakan kira-kira 80 pokok durian belanda, namun tanaman berkenaan musnah akibat banjir kira-kira dua tahun lalu.

“Memang banyak cabaran, tetapi kita tidak boleh mengalah. Selagi ada kudrat, saya akan terus berusaha untuk keluarga,” katanya.

Oleh Shahrul Qaizat

Berdamai Dengan Takdir

Ada masanya kita memandang hidup sendiri lalu bertanya dalam hati, “Mengapa aku yang sering diuji?” Belum pun reda satu kesulitan,