KUCHING, 4 Oktober: Seramai 2,687 peserta daripada pelbagai kaum, agama, usia dan latar belakang menyertai Larian Semangat Merdeka 2026 yang diadakan sempena program Pagi Tanpa Kenderaan DBKU di sini, hari ini.
Daripada jumlah itu, 21 peserta daripada komuniti Pekak, 66 anak yatim, 12 orang kurang upaya (OKU), lima peserta buta atau kurang penglihatan serta lima peserta OKU berkaitan psikososial, intelektual atau pembelajaran turut mengambil bahagian.
Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman, berkata program berkenaan selaras dengan aspirasi DBKU untuk mewujudkan bandar yang lebih sihat, inklusif, berdaya huni dan mesra rakyat.

“Pembangunan bandar bukan hanya berkaitan infrastruktur fizikal, tetapi turut melibatkan penyediaan ruang awam dan program komuniti yang boleh disertai semua lapisan masyarakat.
“Program Pagi Tanpa Kenderaan DBKU memberi peluang kepada orang ramai untuk berjalan kaki, berlari, berbasikal dan menjalankan aktiviti riadah dalam suasana lebih selamat.
“Program itu juga menggalakkan interaksi sosial dan mengeratkan hubungan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Dr Ryan Jee, berkata aspek keterangkuman menjadi antara fokus utama penganjuran Larian Semangat Merdeka 2026.
“Ada peserta yang berlari, ada yang berjalan dan ada juga yang memerlukan bantuan. Namun, setiap peserta tetap sama penting dan harus diberi peluang untuk mengambil bahagian.
“Pihak penganjur mahu memastikan program komuniti dapat disertai bukan sahaja mereka yang aktif bersukan, tetapi juga kanak-kanak, warga emas, keluarga dan golongan OKU,” jelasnya.

Mengulas lanjut, JVY Event Management Company merancang bekerjasama dengan Checkpoint Sport dari Kuala Lumpur bagi membawa lebih banyak program komuniti ke kawasan DBKU.
“Program yang dirancang turut merangkumi senamrobik, tarian aerobik, Zumba, cabaran kecergasan berasaskan gim serta aktiviti kesejahteraan komuniti, selain acara larian.
“Matlamat utama adalah menyediakan program yang lebih mudah disertai, inklusif dan memberi manfaat kepada masyarakat,” ujarnya.
Untuk rekod, Larian Semangat Merdeka 2026 dianjurkan sempena program Pagi Tanpa Kenderaan DBKU bagi menggalakkan gaya hidup sihat serta penyertaan masyarakat dalam aktiviti riadah.




