KUCHING, 3 Oktober: Majlis Kanak-Kanak Kuching Selatan menjadi platform penting dalam memberi ruang kepada generasi muda menyuarakan pandangan serta terlibat dalam perkara yang memberi kesan kepada kehidupan mereka.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, penglibatan kanak-kanak penting dalam usaha membangunkan Sarawak secara inklusif, khususnya ketika negeri ini menuju sasaran pembangunan menjelang 2030.
Menurutnya, pembangunan Sarawak bukan hanya melibatkan jalan raya, jambatan, sekolah, hospital, infrastruktur digital, tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi, sebaliknya pembangunan akhirnya adalah mengenai rakyat serta masa depan generasi seterusnya.
“Pelaburan terhadap kanak-kanak hari ini merupakan pelaburan untuk masa depan Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Kanak-Kanak Kuching Selatan bagi penggal 2026 hingga 2028, di sini, hari ini.

Seramai 31 ahli mengangkat sumpah bagi penggal berkenaan, terdiri daripada 10 ahli yang meneruskan khidmat daripada penggal terdahulu dan 21 ahli baharu.
Dr Sim berkata, aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang berteraskan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar turut memerlukan penyertaan generasi muda.
Katanya, kanak-kanak perlu diberikan peluang untuk memerhati, berfikir, bertanya dan berkongsi pengalaman terutama berkaitan keselamatan, kemudahan awam, penggunaan Internet dan media sosial serta isu buli dan peminggiran.
Beliau berkata, peluang bersuara juga perlu disertai rasa tanggungjawab dengan golongan muda bukan sekadar mengetengahkan masalah, tetapi turut memikirkan penyelesaian dan memainkan peranan dalam komuniti.
“Kepimpinan tidak bermula apabila anda menjadi dewasa. Kepimpinan bermula apabila anda belajar untuk memikul tanggungjawab,” katanya.
Menurutnya, generasi muda juga perlu bersedia menghadapi perubahan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital tanpa mengabaikan nilai kemanusiaan seperti sikap baik, hormat dan bertanggungjawab.
Sehubungan itu, beliau mahu Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) terus menyediakan peluang bermakna kepada ahli Majlis Kanak-Kanak untuk menyumbang pandangan dalam perancangan program, taman serta ruang awam yang memberi kesan kepada mereka.


Sementara itu, Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, Majlis Kanak-Kanak tidak seharusnya diwujudkan hanya untuk mesyuarat, sesi bergambar atau majlis rasmi, sebaliknya perlu menjadi saluran sebenar untuk kanak-kanak menyuarakan pandangan.
Menurutnya, MBKS merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Sarawak dan Borneo yang menjadi Bandar Calon di bawah Inisiatif Bandar Mesra Kanak-Kanak UNICEF.
Katanya, ahli majlis digalakkan berkongsi idea berkaitan taman, keselamatan, kesihatan, alam sekitar, teknologi, sukan dan seni bagi membantu mewujudkan Kuching Selatan yang lebih selamat, sihat serta inklusif.
Beliau berharap 10 ahli yang meneruskan khidmat dapat membimbing 21 ahli baharu supaya kesemua 31 ahli dapat bekerjasama sebagai satu pasukan dan memanfaatkan penggal 2026 hingga 2028 untuk membawa suara serta aspirasi kanak-kanak Kuching Selatan.
Oleh Norman B




