KUCHING, 13 Oktober: Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) disaran mengkaji potensi penggunaan sisa kelapa sawit bagi menghasilkan bahan api penerbangan lestari (SAF) sebagai usaha meneroka peluang ekonomi baharu dalam industri perladangan negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, cadangan itu memerlukan penyelidikan lanjut bagi mengenal pasti kesesuaian penggunaan bahan berkenaan dalam penghasilan bahan api alternatif untuk industri penerbangan.
Menurut beliau, penyelidikan terhadap gabungan asid lemak daripada sisa kelapa sawit dengan hidrokarbon wajar dilaksanakan bagi menilai potensinya dalam penghasilan bahan api penerbangan.

“Saya mencadangkan supaya penyelidikan dijalankan terhadap gabungan asid lemak dengan hidrokarbon bagi meneroka potensi penghasilan bahan api baharu untuk industri penerbangan.
“Bayangkan jika kita dapat memanfaatkan kawasan seluas 55,000 hektar serta sisa kelapa sawit yang dihasilkan untuk membangunkan bahan api penerbangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Gala Jubli Emas SALCRA di sini, malam tadi.
Abang Johari turut membayangkan SALCRA berpotensi berkembang menjadi sebuah entiti besar dalam industri bahan api sekiranya usaha menghasilkan bahan api penerbangan berasaskan sisa kelapa sawit berjaya direalisasikan.
Beliau membuat perbandingan dengan Aramco, antara syarikat minyak dan gas terbesar dunia yang berpangkalan di Arab Saudi, bagi menggambarkan peluang ekonomi yang mungkin dapat diterokai SALCRA pada masa hadapan.
“SALCRA mungkin boleh menjadi Aramco di Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, SALCRA juga berpotensi memperluas kegiatan ekonominya melalui pemprosesan sisa kelapa sawit kepada produk bernilai tambah seperti baja dan biojisim.
Beliau turut menyentuh potensi penggunaan teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI) dan dron bagi meningkatkan kecekapan pengurusan serta produktiviti ladang kelapa sawit.
Katanya, penggunaan teknologi berkenaan boleh diteroka bagi menyokong usaha pemodenan industri perladangan, termasuk dalam pengurusan tanaman dan program penanaman semula.
Beliau turut menekankan kepentingan penyatuan pengurusan tanah bagi mengurangkan kos pengeluaran melalui ekonomi skala, sekali gus meningkatkan pulangan kepada pemilik tanah.
Sepanjang 50 tahun penubuhannya, SALCRA telah membangunkan kira-kira 55,000 hektar tanah dengan penyertaan sekitar 22,000 peserta daripada 400 rumah panjang dan kampung di Sarawak.
Oleh Norman B





