Dari tanah tinggi Bandung, alunan melodi buluh bergema merentasi dunia

Facebook
WhatsApp
PEKERJA Saung Angklung Udjo tekun menghasilkan alat muzik tradisional angklung yang diperbuat daripada buluh di bengkel pengeluaran pusat kebudayaan itu di Bandung, Jawa Barat. Foto BERNAMA

BANDUNG, 21 November: Terletak di tanah tinggi Jawa Barat, Bandung sejak sekian lama menjadi tarikan pengunjung dengan udara pergunungan yang nyaman, seni bina era kolonial dan suasana romantiknya – ciri-ciri yang membawa kota ini gelaran “Paris van Java” atau Paris dari Jawa semasa penjajahan Belanda.

Namun, di sebalik pesona romantik kota itu, tersimpan satu lagi kisah cinta yang bermula di halaman rumah sebuah keluarga enam dekad lalu, sebelum berkembang menjadi antara pusat penghasilan alat muzik tradisional buluh yang membekalkan produknya ke seluruh dunia, termasuk Malaysia dan Jepun.

PEKERJA Saung Angklung Udjo tekun menghasilkan alat muzik tradisional angklung yang diperbuat daripada buluh di bengkel pengeluaran pusat kebudayaan itu di Bandung, Jawa Barat. Foto BERNAMA 

Pusat kebudayaan Saung Angklung Udjo, yang namanya menggabungkan perkataan saung dalam bahasa Sunda, bermaksud pondok atau tempat berteduh tradisional, ditubuhkan oleh Udjo Ngalagena bersama-sama dengan isterinya Uum Sumiati pada 1966, kongsi pegawai seranta pusat itu Erika Rizky.

“Sebelum kami mempunyai 600 orang penggiat seni di sini, 10 anak beliau merupakan kumpulan pertama yang membuat persembahan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui semasa lawatan suai kenal wartawan dan pempengaruh Malaysia ke Jakarta dan Bandung, anjuran Konsulat Jeneral Indonesia di Kuching dengan kerjasama syarikat penerbangan milik Sarawak, AirBorneo.

Angklung ialah alat muzik tradisional Indonesia yang diperbuat daripada tiub buluh yang dipasang pada rangka. Alat muzik ini menghasilkan nada tersendiri apabila digoncang, manakala gabungan angklung dengan pic berbeza menghasilkan melodi yang harmoni apabila dimainkan bersama-sama.

Berkerjaya sebagai guru pendidikan jasmani, minat Udjo terhadap muzik yang bermula sejak kecil tidak pernah padam. Sebaliknya bakatnya terus berkembang di bawah bimbingan ahli muzik terkenal Daeng Soetigna. Usaha Daeng memperkenalkan angklung diatonik pada 1938 memperluas keupayaan alat muzik itu untuk menghasilkan pelbagai melodi.

Menurut sejarah rasmi Saung Angklung Udjo, Udjo pernah terlibat dalam persembahan angklung bersempena dengan Persidangan Asia-Afrika di Bandung pada 1955, sebelum memulakan pengeluaran alat muzik itu sendiri pada 1961. Lima tahun kemudian, beliau dan isterinya secara rasmi menubuhkan pusat kebudayaan tersebut.

Erika berkata pada tahun-tahun awal penubuhan pusat itu, Udjo akan berbasikal di sekitar kawasan Braga dan Asia Afrika di Bandung selepas selesai mengajar bagi mengedarkan kad promosi yang diperbuat daripada buluh kepada pihak hotel, agensi pelancongan dan pelancong untuk menarik pengunjung menyaksikan persembahan di halaman rumah keluarganya.

Menjelang akhir 1960-an, pusat itu mula menarik kehadiran pelancong asing, sekali gus mengembangkan usaha kecil keluarga Udjo menjadi tarikan kebudayaan yang semakin dikenali, menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Kementerian Sosial Indonesia.

PEKERJA Saung Angklung Udjo tekun menghasilkan alat muzik tradisional angklung yang diperbuat daripada buluh di bengkel pengeluaran pusat kebudayaan itu di Bandung, Jawa Barat. Foto BERNAMA

Enam dekad kemudian, Erika berkata Saung Angklung Udjo berkembang sehingga melibatkan kira-kira 600 penggiat seni, dengan anak, cucu dan cicit Udjo meneruskan legasi muzik keluarga berkenaan.

Bagi Erika yang mula mengenali Saung Angklung Udjo pada usia tiga tahun, pusat kebudayaan itu mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana menjadi sebahagian daripada kehidupannya sejak kecil, selain kekal sebagai tempat satu generasi ke satu generasi berkongsi kecintaan terhadap muzik tradisional.

Terletak di kawasan Padasuka, kira-kira tujuh kilometer dari pusat bandar Bandung, institusi itu kini berkembang melangkaui halaman asalnya menjadi kompleks kebudayaan yang merangkumi ruang persembahan, bengkel pembuatan angklung dan pelbagai aktiviti pendidikan. Erika menganggarkan kawasan utama kompleks itu meliputi keluasan kira-kira dua hektar.

Bagi pengunjung, pusat itu menawarkan peluang mendekati budaya Sunda menerusi seni pertukangan buluh, tarian tradisional dan persembahan muzik interaktif yang turut memberi ruang kepada penonton mencuba sendiri bermain angklung.

Di sebalik alunan muzik yang menceriakan, angklung mempunyai sejarah yang berkait rapat dengan kepercayaan masyarakat setempat. Secara tradisional, alat muzik itu digunakan dalam upacara pertanian bagi menghormati Dewi Sri, dewi padi yang dipercayai masyarakat Sunda membawa kesuburan tanah dan hasil tuaian yang melimpah.

Peranan angklung kemudiannya berkembang melangkaui upacara tradisional apabila alat muzik itu mendapat pengiktirafan antarabangsa menerusi penyertaannya dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO pada 2010, sembilan tahun selepas kematian Udjo.

Hari ini, Erika menyifatkan Saung Angklung Udjo sebagai pusat pengeluaran angklung terbesar di dunia, membekalkan alat muzik buatan tangan kepada pembeli luar negara bersandarkan pengalaman selama berdekad-dekad dalam pembuatan dan persembahan muzik tradisional berasaskan buluh.

“Jepun merupakan pasaran terbesar kami kerana angklung sudah dijadikan sebahagian daripada mata pelajaran di sekolah di sana,” katanya, sambil menjelaskan pusat itu telah mengeksport alat muzik berkenaan sejak berpuluh tahun lalu.

Malaysia turut menjadi antara pasaran eksportnya, dengan Erika menyifatkan permintaan dari negara jiran itu sebagai menggalakkan. Guru dan peserta dari Malaysia juga pernah mengikuti program latihan jurulatih di pusat berkenaan.

PENGUNJUNG memilih alat muzik tradisional angklung yang diperbuat daripada buluh di bengkel pengeluaran pusat kebudayaan itu di Bandung, Jawa Barat. Foto BERNAMA

“Mereka datang ke sini untuk belajar terlebih dahulu sebelum mengaplikasikan ilmu yang diperoleh di tempat masing-masing,” katanya,  menambah peserta akan menerima sijil selepas menamatkan latihan.

Menurut Erika, pengeluaran angklung melibatkan sekumpulan antara tujuh hingga 10 orang tukang mahir yang berupaya menghasilkan kira-kira 20 angklung sehari, bergantung pada permintaan, termasuk tempahan dari luar negara.

Beliau berkata pusat itu turut menanam pelbagai spesies buluh di tanah miliknya, termasuk di sebuah tapak berasingan yang dikenali sebagai Udjo Ecoland, iaitu tempat buluh disediakan dan dikeringkan sebelum digunakan. Bagaimanapun, bekalan tambahan turut dibeli bagi memenuhi keperluan pengeluaran.

Pelancong yang ke Bandung kerana tarikan iklim dan suasana romantik, tidak wajar melepaskan peluang ke Saung Angklung Udjo kerana, pengunjung bukan sekadar dapat menikmati muzik tradisional, tetapi turut berpeluang mengenali seni pertukangan, sejarah dan warisan budaya yang menghidupkan setiap alunan angklung. – Bernama

Kesihatan diri tanggungjawab seorang muslim

ISLAM amat menitikberatkan kebersihan dan mewajibkan umatnya menjaga kebersihan diri serta persekitaran. Dalam kitab fiqah, bab pertama yang dibahaskan ialah