Jurufoto cilik buktikan bakat besar melalui bidikan berkualiti

Facebook
WhatsApp

KAMERA berlensa telefoto yang hampir setingginya apabila ditegakkan, bukan penghalang buat Afeeya Abdul Hadi yang baru berusia tujuh tahun meneroka dunia fotografi.

 Malah, hasil bidikannya berjaya mencuri perhatian sehingga meraih tempat ketiga dalam satu aktiviti photowalk terbuka, dan lebih membanggakan, dia mencipta kejayaan itu dalam persaingan dengan kira-kira 20 peserta termasuk orang dewasa, membuktikan bakat fotografi kanak-kanak berkenaan.  

Minat Afeeya terhadap fotografi mula berputik ketia berusia tiga tahun apabila dia sering mengikuti bapanya, Abdul Hadi Asaddok, 39, yang bekerja sebagai jurugambar ke lokasi tugasan.

“Saya suka ambil gambar haiwan… bila besar nanti saya nak jadi jurufoto,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama.

Berkongsi tentang permulaan minat anak keduanya itu, Abdul Hadi berkata beliau pada awalnya memberikan sebuah kamera miliknya kepada Afeeya untuk mengisi masa ketika mengikutinya bekerja.

Daripada sekadar bermain dengan kamera, Afeeya mula merakam gambar ahli keluarga termasuk ibu dan adiknya sebelum kecenderungannya berkembang kepada subjek lain, khususnya burung yang sering dilihat di sekitar kediaman mereka.

Keinginan Afeeya untuk meneroka dan merakam dunia burung dengan lebih dekat mendorong bapanya menghadiahkan sebuah kamera Sony A7 III yang dipadankan dengan lensa FE 70-200mm F4 G OSS bagi membolehkan kanak-kanak itu merakam subjek dari jarak lebih jauh.

“Dia sendiri yang minta kamera itu sebab kamera saya sebelum ini agak besar dan berat. Apabila dia mula berminat mengambil gambar burung, dia perlukan lensa yang lebih panjang. Dia sanggup bawa dan angkat kamera itu setiap hari supaya lebih biasa dengan beratnya,” kongsi bapa kepada tiga anak itu.

Walaupun masih kecil, Afeeya bukan sekadar bergantung pada tunjuk ajar bapanya yang mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang fotografi, malah turut berusaha meneroka sendiri teknik untuk meningkatkan kemahirannya.

Selain fotografi hidupan liar, Afeeya turut berpeluang mengikuti bapanya melakukan fotografi jalanan di sekitar bandar raya Johor Bahru, dengan merakam gelagat dan suasana kehidupan harian masyarakat.

Bagi Abdul Hadi, minat yang dikongsi dengan anaknya itu bukan sahaja membolehkan beliau memperturunkan pengetahuan dan pengalaman, malah membuka ruang untuk mereka meluangkan lebih banyak masa berkualiti bersama-sama.

Bagaimanapun, beliau tetap mengutamakan pendidikan anaknya dan tidak menetapkan jadual khusus untuk aktiviti fotografi, sebaliknya memberikan kebebasan kepada Afeeya meneruskan minat itu mengikut kesesuaian masa.

“Sebagai bapa, saya berharap dia dapat meneruskan perkara yang diminatinya secara konsisten. Selagi perkara itu memberikan manfaat kepada dirinya dan orang lain, saya akan sokong setakat kemampuan saya,” katanya yang tidak mahu meletakkan harapan atau tekanan agar Afeeya menjadikan fotografi sebagai kerjaya pada masa depan.- Bernama

Kesihatan diri tanggungjawab seorang muslim

ISLAM amat menitikberatkan kebersihan dan mewajibkan umatnya menjaga kebersihan diri serta persekitaran. Dalam kitab fiqah, bab pertama yang dibahaskan ialah