DALAM kesibukan parti-parti politik menyusun strategi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, pelbagai percaturan mengenai kerusi, calon, penyandang dan kekuatan sokongan menjadi perhatian, tetapi satu perkara tidak sepatutnya dilupakan, iaitu rakyat bukan bidak yang boleh digerakkan sesuka hati di atas papan permainan politik.
Dalam permainan catur, setiap bidak mempunyai kedudukan dan pergerakan yang ditentukan oleh pemain.
Namun, demokrasi berbeza kerana pengundi mempunyai fikiran, pertimbangan, pengalaman dan keutamaan sendiri.
Seseorang pemimpin mungkin mampu menyusun strategi untuk memenangi sesuatu kawasan, tetapi tiada jaminan bahawa penduduk akan memberikan sokongan hanya kerana mereka dianggap sebahagian daripada kekuatan tradisi sesebuah parti.
Begitu juga apabila sesuatu kerusi digambarkan sebagai kubu kuat, kawasan selamat atau berpotensi dimenangi.
Istilah sedemikian mempunyai kegunaan dalam analisis politik, tetapi tidak sewajarnya membawa tanggapan bahawa undi rakyat sudah menjadi milik sesiapa.
Hakikatnya, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bukan harta pusaka politik, manakala pengundi pula tidak terikat selama-lamanya kepada individu atau parti tertentu.
Peta kerusi bukan peta pemikiran rakyat
Menjelang hari penamaan calon pada 28 November, pelbagai pihak tentunya sedang meneliti kekuatan kawasan, keputusan pilihan raya lalu dan kesesuaian individu yang bakal diketengahkan.
Dalam proses itu, jumlah pengundi, komposisi penduduk, pola pengundian terdahulu dan pengaruh jentera parti menjadi antara maklumat penting bagi membantu penyusunan strategi.
Semua ini merupakan sebahagian daripada amalan biasa dalam demokrasi kerana sesebuah parti perlu membuat pertimbangan sebelum menentukan kawasan dan individu yang akan mewakilinya.
Bagaimanapun, masalah timbul apabila analisis berdasarkan angka dianggap sebagai gambaran mutlak tentang pendirian masyarakat.
Kawasan yang memberikan majoriti besar kepada sesuatu parti pada pilihan raya terdahulu tidak semestinya akan menghasilkan keputusan sama pada setiap pilihan raya.
Begitu juga pengundi yang pernah menyokong seseorang penyandang tidak semestinya menolak perubahan, manakala mereka yang pernah memilih calon daripada parti lain tidak semestinya akan terus membuat keputusan serupa.
Perubahan dalam kehidupan, pengalaman berurusan dengan wakil rakyat, prestasi pentadbiran dan keperluan semasa boleh mempengaruhi pertimbangan seseorang pengundi.
Dalam erti kata lain, peta politik mungkin menunjukkan sejarah sokongan, tetapi tidak mampu membaca sepenuhnya apa yang sedang difikirkan oleh setiap individu yang bakal memasuki pusat mengundi.
Dua juta pemilih, dua juta pertimbangan
Berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 2,058,781 pemilih berdaftar layak mengambil bahagian dalam PRN Sarawak ke-13 yang melibatkan 82 kerusi DUN.
Angka tersebut memberikan gambaran mengenai skala pilihan raya kali ini, tetapi di sebalik jumlah tersebut terdapat masyarakat dengan latar belakang, pengalaman hidup dan keutamaan yang berbeza.
Seorang belia yang baru memasuki alam pekerjaan mungkin lebih memikirkan peluang mendapatkan pendapatan stabil dan memiliki kediaman sendiri.
Seorang petani atau nelayan pula mungkin lebih memberikan perhatian kepada kemudahan pengangkutan, pemasaran hasil, kos operasi dan peluang meningkatkan pendapatan keluarga.
Bagi penduduk yang tinggal jauh dari pusat bandar, akses jalan raya, bekalan air terawat, elektrik, perkhidmatan kesihatan dan capaian komunikasi boleh menjadi antara pertimbangan penting.
Golongan peniaga, pekerja swasta, penjawat awam, ibu bapa dan warga emas juga mempunyai keperluan yang berbeza mengikut keadaan masing-masing.
Keutamaan itu tidak bermaksud semua anggota sesuatu kelompok akan mengundi dengan cara yang sama, sebaliknya memperlihatkan betapa sukarnya merumuskan kehendak masyarakat hanya berdasarkan kategori umur, pekerjaan atau lokasi
Seseorang pengundi mungkin bersetuju dengan dasar sesebuah parti tetapi kurang yakin terhadap calon yang diketengahkan, atau sebaliknya menghargai perkhidmatan seorang wakil rakyat walaupun mempunyai pandangan berbeza mengenai beberapa dasar.
Keadaan inilah yang menjadikan proses demokrasi jauh lebih rumit daripada sekadar menyusun angka kemenangan di atas kertas.
Jangan anggap sokongan boleh diwarisi
Antara cabaran dalam politik ialah kecenderungan menganggap sokongan yang pernah diperoleh sebagai sesuatu yag akan terus kekal.
Seseorang penyandang yang telah lama berkhidmat mungkin mempunyai kelebihan dari segi pengalaman, jaringan masyarakat dan pengetahuan mengenai keperluan kawasan.
Namun, kelebihan tersebut tetap perlu diterjemahkan kepada rekod perkhidmatan yang boleh dinilai oleh rakyat.
Begitu juga muka baharu yang menawarkan pembaharuan. Usia muda atau penampilan berbeza sahaja tidak semestinya mencukupi untuk meyakinkan pengundi tanpa gagasan, keupayaan dan kefahaman terhadap masalah setempat.
Persaingan antara penyandang dengan muka baharu sepatutnya membuka ruang kepada penilaian lebih menyeluruh, bukannya sekadar mempertentangkan pengalaman dengan perubahan.
Apa yang diperlukan pengundi ialah alasan yang meyakinkan mengapa seseorang individu layak diberikan tanggungjawab mewakili masyarakat bagi tempoh lima tahun akan datang.
Dalam politik, sejarah boleh membina kepercayaan, tetapi kepercayaan itu perlu terus dipelihara melalui tindakan.
Rakyat bukan sekadar sasaran kempen
Ketika musim pilihan raya, masyarakat lazimnya menjadi tumpuan pelbagai kegiatan politik, daripada pertemuan bersama penduduk hinggalah kepada kempen melalui media sosial.
Pendekatan tersebut penting bagi membolehkan parti dan calon menjelaskan dasar serta mendapatkan sokongan.
Namun, hubungan antara pemimpin dengan rakyat tidak sepatutnya dilihat sebagai urusan yang hanya menjadi penting apabila pilihan raya semakin hampir.
Bagi penduduk yang masih berhadapan masalah kemudahan asas atau menunggu pelaksanaan sesuatu projek pembangunan, perkara yang lebih utama bukan sekadar berapa kali mereka dikunjungi sepanjang kempen
Mereka juga berhak mengetahui status penyelesaian masalah, sebab sesuatu projek tertangguh, pihak yang bertanggungjawab dan tempoh yang munasabah untuk tindakan susulan.
Dalam hal ini, janji pembangunan perlu disertai penjelasan mengenai kemampuan pelaksanaan supaya rakyat dapat membezakan antara cadangan, kelulusan peruntukan dan projek yang benar-benar telah dilaksanakan.
Perbezaan tersebut penting kerana harapan masyarakat tidak sepatutnya dijadikan bahan percaturan tanpa kejelasan mengenai hasil yang boleh dicapai.
Lebih penting, tanggungjawab terhadap rakyat tidak berakhir selepas undi dikira dan keputusan kemenangan diumumkan.
Mandat bukan hak milik kekal
Salah satu kekuatan demokrasi ialah peluang yang diberikan kepada rakyat untuk menilai semula kepimpinan melalui pilihan raya.
Kemenangan seseorang calon memberikan mandat untuk menjalankan tanggungjawab, tetapi mandat tersebut bukan jaminan bahawa pengundi akan terus memberikan kepercayaan yang sama pada pilihan raya berikutnya.
Begitu juga kekalahan tidak semestinya menamatkan peluang seseorang individu atau parti untuk terus menyumbang kepada masyarakat.
Dalam sistem demokrasi yang sihat, semua pihak mempunyai ruang untuk membuktikan kemampuan masing-masing melalui tindakan, dasar dan perkhidmatan.
Oleh itu, keputusan pilihan raya tidak wajar dilihat semata-mata sebagai kejayaan strategi mendapatkan kerusi, sebaliknya amanah yang menuntut kebertanggungjawaban selepas kemenangan.
Pengundi bukan sekadar diperlukan ketika menghitung majoriti, tetapi perlu terus didengari apabila keputusan berkaitan kehidupan mereka dibuat.
Kerusi yang dimenangi mungkin menjadi lambang kejayaan politik, tetapi nilai sebenar kemenangan itu terletak pada sejauh mana amanah rakyat dilaksanakan.
Siapa sebenarnya menentukan permainan?
Menjelang pengumuman calon dan hari penamaan calon, tumpuan politik mungkin terus dipenuhi perbincangan tentang siapa dikekalkan, siapa diganti, siapa berpeluang menang dan siapa bakal menjadi pencabar utama.
Perdebatan itu mempunyai tempat dalam demokrasi kerana masyarakat berhak mengetahui pilihan yang tersedia.
Namun, persaingan mendapatkan kerusi tidak sepatutnya menyebabkan persoalan mengenai tanggungjawab wakil rakyat tenggelam di sebalik strategi pencalonan.
Selepas nama calon disahkan, setiap individu yang bertanding mempunyai peluang untuk menjelaskan keutamaan, menawarkan penyelesaian dan membina keyakinan masyarakat.
Rakyat pula mempunyai hak untuk menerima, mempersoalkan atau menolak tawaran tersebut melalui pertimbangan masing-masing.
Pada 12 Disember nanti, keputusan PRN Sarawak ke-13 akan ditentukan melalui undi yang diberikan oleh pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab, bukannya semata-mata berdasarkan kekuatan strategi yang dirancang sebelum hari pengundian.
Ketika itu, angka yang selama ini digunakan untuk meramal kemenangan akan bertukar menjadi keputusan sebenar yang perlu dihormati oleh semua pihak.
Ironinya, ketika ahli politik sibuk mengira kerusi yang mampu dimenangi, rakyat mungkin sedang membuat perkiraan yang jauh lebih dekat dengan kehidupan mereka, iaitu siapa yang benar-benar mampu memikul tanggungjawab selepas diberikan kuasa.
Parti boleh memilih calon, calon boleh menyusun kempen dan ahli strategi boleh merangka pelbagai kemungkinan.
Namun, tiada siapa berhak menganggap pilihan rakyat sudah ditentukan lebih awal.
Dalam permainan catur, bidak bergerak mengikut kehendak pemain. Dalam demokrasi, rakyatlah yang menentukan siapa layak menerima mandat melalui peti undi.
Papan percaturan boleh disusun sesiapa sahaja, tetapi keputusan akhirnya tetap di tangan rakyat
Oleh Earl Anek





