Fernandes tangguh rundingan kontrak baharu dengan Manchester United

Facebook
WhatsApp
KAPTEN Manchester United, Bruno Fernandes, mengetepikan soal kontrak baharu buat sementara waktu bagi memberi tumpuan kepada usaha membantu kelab itu kembali mencatat kemenangan. Foto AFP

LIVERPOOL, 22 November: Kapten Manchester United, Bruno Fernandes menyifatkan sekarang sebagai masa yang kurang sesuai untuk membincangkan kontrak baharu ketika kelab itu berdepan kesukaran.

Masa depan Fernandes di Old Trafford terus menjadi tanda tanya sejak beberapa tahun lalu, dengan spekulasi bahawa beliau bersedia meninggalkan United masih berlegar.

Pemain berusia 32 tahun itu menolak tawaran kontrak baharu buat kali kedua, sedangkan kontrak semasanya akan tamat pada penghujung musim ini.

Fernandes sebelum ini menolak peluang menyertai kelab Arab Saudi, Al-Hilal, ketika rehat antara musim. Namun, dengan United bergelut musim ini, beliau belum bersedia menyambung semula rundingan kontrak dengan kelab yang disertainya pada 2020.

“Kelab menawarkan kontrak baharu kepada saya. Bagi saya, itu menunjukkan mereka mahu saya kekal,” katanya kepada Sky Sports hari ini.

“Tiada rundingan sedang berlangsung, tetapi saya ada melihat orang berkata saya meminta gaji lebih tinggi dan kontrak lebih panjang. Kalau saya mahukan lebih banyak wang, saya sudah lama meninggalkan kelab ini.

“Saya boleh menyertai kelab lain dan memperoleh bayaran jauh lebih tinggi daripada apa yang saya terima di Manchester United. Saya juga boleh berada di tempat yang jauh lebih panas daripada Manchester.

“Dalam tiga tempoh rehat antara musim yang lalu, saya sentiasa berpeluang untuk pergi, tetapi setiap kali saya memilih untuk kekal.

“Saya sentiasa menunjukkan betapa saya mengambil berat tentang kelab ini dan betapa saya mahu meraih kejayaan di sini. Saya selalu berkata, apabila kelab merasakan sudah tiba masanya untuk saya pergi, saya akan pergi.”

Prestasi pemain tengah Portugal itu merosot musim ini. Beliau hanya menjaringkan satu gol dan mencatat satu bantuan gol sejak meledak hatrik ketika menentang Ipswich pada Ogos lalu.

Fernandes digugurkan daripada kesebelasan utama oleh Michael Carrick pada awal musim ini selepas mengkritik taktikal pengendali berkenaan.

Carrick kemudian dipecat, manakala Mauricio Pochettino dilantik untuk membawa United keluar daripada zon penyingkiran.

Fernandes, yang sering dikritik kerana reaksi emosional dan bahasa badannya di padang, kini memberi tumpuan kepada usaha membantu United ketika kelab itu memulakan era baharu di bawah kendalian Pochettino, bekas jurulatih skuad kebangsaan Amerika Syarikat.

“Kami membincangkan soal kontrak pada penghujung musim lalu dan menyambung perbincangan itu pada awal musim ini,” katanya.

“Namun, dengan keadaan pasukan dan kelab sekarang, saya ketepikan dahulu soal itu kerana saya rasa masanya kurang sesuai untuk saya dan kelab berunding.

“Perkara paling penting sekarang ialah kelab kembali mencatat kemenangan.” – AFP