MIRI: Seorang ditemukan selamat sementara itu, dua lagi rakan dikhuatiri lemas dihanyut arus dan tenggelam ketika sedang mandi selepas aktiviti memancing di Pantai Lutong, Jalan Lutong di sini sekitar, 2.00 petang tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak, pihaknya telah terima panggilan kecemasan pada 2.17 petang, dan pada ketika kejadian, kedua-dua mangsa telah dibawa arus dan terus tenggelam.
“Rakan mangsa yang selamat terus menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan.
“Setibanya di lokasi, PKO memulakan operasi pencarian di sekitar lokasi mangsa tenggelam dan berjaya menemui mangsa pertama yang terdampar di tepi pantai pada 2.40 petang.
“Mangsa kedua berjaya ditemui terapung 30 meter dari pantai pada 2.50 petang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Jelasnya, kedua-dua mangsa dibawa ke tempat yang selamat dan didapati tidak menunjukkan tanda-tanda kehidupan.
Operasi menyelamat diketuai Ketua Balai Bomba Penyelamat (BBP) Lutong PBT II Henry Jugah ini dibantu seramai sembilan anggota BBP Lutong.
Ketika berita ini ditulis, pihak PKO masih menunggu pihak hospital tiba di lokasi untuk membuat pengesahan terhadap mangsa.