JPJ Sarawak tegas kesalahan tali pinggang keledar, telefon bimbit

Facebook
WhatsApp
SEKITAR Ops Patuh yang dijalankan oleh Unit FALCON JPJ di sekitar bandar raya Kuching, hari ini.

KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak mengambil tindakan terhadap beberapa kesalahan jalan raya termasuk tidak memakai tali pinggang keledar dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu menerusi Ops Patuh di sekitar bandar raya ini, hari ini. 

Operasi berkenaan dilaksanakan Unit FALCON JPJ Sarawak menerusi rondaan dan pemantauan bagi meningkatkan tahap pematuhan pengguna jalan raya terhadap peraturan keselamatan jalan raya.

Menurut JPJ Sarawak dalam kenyataan hari ini, antara kesalahan dikesan ialah kegagalan menggunakan tali pinggang keledar ketika memandu serta penggunaan telefon bimbit semasa memandu.

“Hasil pelaksanaan operasi mendapati beberapa kesalahan telah dikesan, antaranya tidak menggunakan tali pinggang keledar semasa memandu serta menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

“Kesemua kesalahan yang dikesan telah diambil tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

JPJ Sarawak berkata pihaknya memandang serius kedua-dua kesalahan berkenaan kerana penggunaan telefon bimbit ketika memandu dan kegagalan memakai tali pinggang keledar boleh meningkatkan risiko kemalangan serta mendatangkan bahaya kepada pemandu dan pengguna jalan raya lain.

“Sehubungan itu, semua pemandu dinasihatkan supaya sentiasa memberikan tumpuan sepenuhnya ketika memandu, tidak menggunakan telefon bimbit dan memastikan tali pinggang keledar dipakai sebelum memulakan perjalanan,” katanya.

JPJ Sarawak berkata pihaknya akan terus melaksanakan rondaan, pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi meningkatkan kesedaran serta pematuhan terhadap peraturan jalan raya demi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya sentiasa menjadi keutamaan.

Buaya tembaga 2.1 meter diserah kepada SFC

SPAOH: Seekor buaya tembaga liar sepanjang sekitar 2.1 meter yang mengejutkan penduduk Kampung Medang selepas ditemui terperangkap pada jaring sebuah