KUCHING: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita sebuah motosikal yang didapati diubah suai secara ekstrem menerusi Ops Extreme yang dilaksanakan Unit Operasi JPJ Kuching di sekitar bandar raya ini.
Dalam kenyataan hari ini, JPJ berkata motosikal berkenaan ditahan hasil rondaan dan pemantauan yang dijalankan pasukan penguat kuasa.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati motosikal berkenaan telah digunakan di jalan raya dengan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans yang telah tamat tempoh, selain didapati mengalami pengubahsuaian secara ekstrem serta mempunyai beberapa kesalahan teknikal lain,” menurut kenyataan itu.
Susulan pelanggaran tersebut, tindakan penyitaan diambil terhadap motosikal berkenaan selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Menurut JPJ Sarawak, pengubahsuaian kenderaan secara ekstrem yang tidak mematuhi ketetapan dipandang serius kerana boleh menjejaskan aspek keselamatan, kestabilan dan keupayaan kenderaan, selain meningkatkan risiko kepada pengguna jalan raya.
“Pemilik dan pengguna kenderaan dinasihatkan supaya memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik, mematuhi spesifikasi yang ditetapkan serta memastikan LKM dan perlindungan insurans masih sah sebelum digunakan di jalan raya,” katanya.
JPJ berkata pihaknya akan terus mempergiatkan rondaan, pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi membendung ketidakpatuhan serta memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya sentiasa diberi keutamaan.




