Ismail sahkan tarik balik surat kepada Raja-Raja Melayu, sokong Tuanku Muhriz

Facebook
WhatsApp
MENTERI Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim ketika ditemui pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Deepavali peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban hari ini. Foto Bernama

SEREMBAN, 14 November: Menteri Besar Datuk Ismail Lasim mengesahkan penarikan balik kandungan surat kepada Raja-Raja Melayu dan pendirian Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan, sekali gus mengekalkan status quo Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Beliau berkata surat yang tular dan dihantar kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad itu jelas serta tidak memerlukan penjelasan lanjut.

“Anda semua sudah baca, semua dah tular. Semua media dah banyak komen. Jadi, saya mengesahkanlah surat itu. Surat itu sudah cukup jelas dan tidak memerlukan penjelasan lanjut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) di sini, hari ini.

Turut hadir Undang Luak Rembau Datuk Sedia Raja Datuk Hassan Ab Hamid dan Undang Luak Jelebu Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Azrin Khairi.

Susulan pengesahan itu, Ismail yakin kemelut yang melanda negeri berkenaan sejak beberapa bulan lepas kini hampir selesai. 

Terdahulu, tular surat bertarikh 10 Nov berhubung penarikan balik kandungan surat persembahan maklum kepada Majlis Raja-Raja Melayu bertarikh 17 Sept lepas dan pendirian Ahli MMK.

Surat berkenaan memaklumkan, Ismail bersama-sama 10 Ahli MMK sebulat suara memutuskan untuk menarik balik kandungan surat bertarikh 17 Sept dengan mengambil kira kenyataan media Raja-Raja Melayu bertarikh 14 Okt serta Perintah Mahkamah Tinggi Seremban bertarikh 5 Jun yang mengekalkan status quo kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. 

Surat itu turut menjelaskan keputusan dibuat demi menjunjung keluhuran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959) dan memelihara tertib pemerintahan beraja serta memastikan kelangsungan pentadbiran negeri berjalan dalam suasana aman dan teratur.

“Kami menegaskan komitmen untuk sentiasa menjunjung adat serta menghormati kedudukan dan kewibawaan institusi diraja dalam sistem pemerintahan Negeri.

“Kami turut mengambil maklum seruan Raja-Raja Melayu agar segala perbezaan diselesaikan melalui saluran yang sah, berautoriti dan berwibawa secara beradab dan beradat,” menurut surat berkenaan.

Pihak terbabit turut berpandangan usaha ke arah penyelesaian hendaklah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab demi mengekalkan keharmonian dan kestabilan Negeri Sembilan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, Ismail enggan mengulas lanjut kedudukan 10 bekas Exco terlibat kerana masih belum berkesempatan menghadap Tuanku Muhriz.

“Setakat ini, sebab belum dapat menghadap Tuanku, jadi tak dapat apa berita lagi. Kedudukan Exco tiada perbincangan lagi setakat ni. Kalau dah dapat menghadap, kita akan terima pandangan Tuanku…sekarang saya belum dapat beri komen apa-apa,” katanya.

Senarai 10 bekas Exco itu ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Datuk Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.

Dalam perkembangan lain berhubung Belanjawan negeri 2027, Ismail berkata beliau masih menunggu perkenan Tuanku Muhriz berhubung tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Satu perkara saya mesti jelaskan kepada anda semua tentang Belanjawan pada persidangan Dewan Undangan Negeri akan datang, tarikh yang saya beri (26 November) itu ialah tarikh dicadangkan oleh kerajaan.

“Kalau Tuanku perkenan pada tarikh itu kita akan teruskan, tertakluk pada perkenan Tuanku…belanjawan perlu diselesaikan sebelum akhir tahun,” katanya. – Bernama