SARIKEI, 14 November: Tujuh kesan dipercayai akibat tembakan ditemukan pada pintu besi sebuah premis perniagaan di Jalan Repok, selepas pemiliknya terdengar bunyi hentaman sebanyak tujuh kali.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintenden Aswandy Anis berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu semalam sebelum menjalankan pemeriksaan di lokasi.
Katanya, pengadu yang juga pemilik premis tersebut memeriksa keadaan di luar kedai selepas terdengar bunyi hentaman pada pintu besi.
“Bagaimanapun, tiada individu ditemukan di lokasi ketika pemeriksaan dilakukan.
“Berdasarkan laporan, pengadu yang merupakan pemilik premis berkenaan terdengar bunyi hentaman pada pintu besi kedainya sebanyak tujuh kali.
“Setelah memeriksa keadaan di luar premis, pengadu mendapati terdapat tujuh kesan yang dipercayai akibat tembakan pada pintu besi tersebut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Katanya, pemeriksaan awal pasukan polis turut menemukan dua serpihan objek yang dipercayai pelet logam di kawasan kaki lima premis berkenaan.
“Hasil pemeriksaan awal pihak polis di tempat kejadian telah menemukan dua serpihan objek dipercayai pelet logam di kawasan kaki lima premis.
“Pemeriksaan turut mendapati pintu besi berkenaan tidak berlubang, namun terdapat kesan kerosakan pada bahagian cat,” katanya.
Tambahnya, polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti jenis senjata yang digunakan serta mengesan individu yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Setakat kenyataan media dikeluarkan, belum ada sebarang tangkapan dilakukan, manakala motif kejadian masih belum dikenal pasti.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Firza Ahmad Fauzi menerusi talian 012-9768277 atau hadir ke balai polis berhampiran.
“PDRM memandang serius kejadian seumpama ini dan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dapat dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam, khususnya di Daerah Sarikei.
Oleh Earl Anek




