BINTULU, 14 November : Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu terus diperkasa dalam kalangan generasi muda bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta kesedaran mereka terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar, khususnya ekosistem marin.
Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR), Tpr Wan Sufian Wan Mustapha berkata, pendidikan STEM memberi peluang kepada pelajar memahami sesuatu permasalahan daripada pelbagai sudut, menguji idea dan menghasilkan penyelesaian yang lebih kreatif.

Menurutnya, ilmu yang dipelajari di sekolah berpotensi membawa perubahan besar apabila digunakan untuk menangani cabaran sebenar, termasuk dalam usaha memelihara ekosistem marin.
“Melalui STEM, pelajar berpeluang memahami masalah daripada sudut yang berbeza, menguji idea dan membangunkan penyelesaian yang lebih kreatif.
“Pendekatan ini amat penting dalam dunia yang semakin dipengaruhi oleh teknologi, inovasi dan perubahan persekitaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program STEM Fair Pemuliharaan Marin bersama sekolah menengah di Bintulu di bawah Projek COREEFS SFC-BPA, yang berlangsung di NAIM Street Mall, Paragon, hari ini.
Tpr Wan Sufian hadir mewakili Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Abdullah Julaihi.
Beliau berkata, Bintulu merupakan antara pusat pertumbuhan ekonomi dan perindustrian penting di Sarawak yang membuka pelbagai peluang kepada rakyat, namun pembangunan berkenaan perlu dilaksanakan dengan mengambil kira kelestarian alam sekitar.
Katanya, ekosistem marin mempunyai nilai besar kepada Sarawak kerana laut dan kawasan pesisir bukan sahaja menyokong biodiversiti, malah berkait rapat dengan sumber perikanan, kehidupan masyarakat pesisir serta keseimbangan alam semula jadi.
Sehubungan itu, pemuliharaan marin perlu dilihat sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negeri dan bukannya usaha yang terpisah daripada kemajuan ekonomi.
Menurutnya, usaha memastikan pembangunan dan pemuliharaan bergerak seiring memerlukan perancangan yang baik, penggunaan ilmu serta teknologi dan kerjasama antara kerajaan, sektor industri, institusi pendidikan serta masyarakat.
Dalam pada itu, beliau berkata, aspirasi berkenaan turut selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030) yang menekankan tiga tonggak utama, iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
Katanya, pembangunan modal insan dan penguasaan ilmu merupakan antara asas penting untuk menyediakan rakyat menghadapi peluang serta cabaran masa hadapan.
Beliau berharap program seperti itu dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif pendidikan dan inovasi yang menghubungkan keperluan pembangunan Sarawak dengan tanggungjawab memelihara alam sekitar.
Beliau turut berharap pengalaman yang diperoleh menerusi program berkenaan dapat mendorong pelajar melihat sains dan teknologi bukan sekadar sebagai mata pelajaran, tetapi sebagai alat untuk memahami dunia serta menyumbang kepada penyelesaian masalah.
Oleh Faizah Muzidi




