Rusia, Syria sambung semula penerbangan terus – Kementerian Pengangkutan

Facebook
WhatsApp
KEMBALI BEROPERASI... Syrian Airlines menyambung semula penerbangan terus antara Syria dan Rusia. Foto agensi

MOSCOW: Syrian Air mengendalikan penerbangan pertamanya dari Damsyik ke Moscow dalam tempoh lebih setahun setengah, sekali gus menjadikan Syria negara ke-37 yang mempunyai penerbangan terus dengan Rusia, menurut Kementerian Pengangkutan Rusia pada Ahad, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Syrian Air mengendalikan penerbangan pertamanya dari Damsyik ke Moscow. Pesawat Syria yang pertama dalam tempoh lebih setahun setengah tiba di Lapangan Terbang Sheremetyevo,” menurut kementerian itu.

Kementerian itu memaklumkan bahawa “Syria menjadi negara ke-37 yang mempunyai hubungan udara secara langsung dengan Rusia.”

Agensi Pengangkutan Udara Persekutuan Rusia telah mengeluarkan permit kepada Syrian Air untuk mengendalikan penerbangan berjadual antara Damsyik dan Moscow, menurut kementerian itu.

Penerbangan menggunakan pesawat Airbus A320 akan dikendalikan setiap Ahad, dengan pesawat dari Damsyik tiba di Sheremetyevo pada 7.00 pagi (04.00 GMT) sebelum berlepas semula ke Damsyik pada 8.10 pagi. – Bernama