Trump beri isyarat sedia bekerjasama dengan Demokrat selepas kalah pilihan raya pertengahan penggal

Facebook
WhatsApp

WASHINGTON, 27 November: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memberi isyarat bahawa beliau bersedia bekerjasama dengan Parti Demokrat selepas Parti Republikan pimpinannya kalah dalam pilihan raya pertengahan penggal awal bulan ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

“Saya merasakan kita akan menjalin hubungan kerjasama yang erat merentas parti dengan Demokrat, yang membolehkan kita menangani pelbagai perkara berkaitan penjagaan kesihatan dan banyak isu lain serta mencapai hasil,” kata beliau ketika mengadakan perbualan telefon dengan anggota tentera AS pada Khamis.

Trump menghubungi anggota tentera dari kediamannya di Mar-a-Lago, Florida sempena Hari Kesyukuran, antara sambutan utama di AS.

Pada masa sama, Trump sekali lagi menegaskan bahawa beliau mempunyai kuasa veto sebagai presiden, sebagaimana yang dinyatakannya beberapa kali baru-baru ini.

Walaupun menyifatkan veto sebagai instrumen yang berkesan, Trump berkata: “Saya tidak berhasrat menggunakan kuasa veto terhadap semua perkara sepanjang dua tahun ini,” merujuk kepada baki dua tahun penggal keduanya.

Kenyataan Trump yang bersifat lebih terbuka untuk berkompromi itu dibuat kira-kira dua minggu selepas Senator terpilih Michigan Abdul El-Sayed menggesa beliau memperkenalkan sistem penjagaan kesihatan sejagat.

Satu hantaran di platform X memaparkan contoh reka bentuk kad menyerupai kad insurans kesihatan yang tertera perkataan “TrumpCare” dalam tulisan berwarna emas.

Akhbar New York Post baru-baru ini memetik Trump sebagai berkata beliau akan bertemu El-Sayed.

“Beliau seorang yang bijak,” kata Trump mengenai ahli politik berhaluan kiri itu.

El-Sayed memenangi kerusi Senat pada pilihan raya pertengahan penggal awal November dan dijadual mengangkat sumpah sebagai Senator Michigan pada Januari.

Antara tuntutan utamanya ialah pelaksanaan sistem penjagaan kesihatan sejagat yang dibiayai dana awam, dikenali sebagai Medicare for All. – Bernama