SEOUL, 26 November: Mahkamah Agung Korea Selatan pada Khamis mengekalkan keputusan membebaskan bekas Presiden Yoon Suk-yeol daripada pertuduhan memberikan keterangan palsu di bawah sumpah semasa perbicaraan kes pemberontakan membabitkan bekas Perdana Menteri Han Duck-soo, lapor Xinhua.
Mahkamah memuktamadkan keputusan pembebasan Yoon selepas menolak rayuan yang dikemukakan oleh pasukan pendakwa khas diketuai Cho Eun-suk, yang menjalankan siasatan terhadap Yoon berhubung kes pemberontakan dan pertuduhan lain.
Yoon didakwa pada Disember 2025 atas pertuduhan memberi keterangan palsu dalam perbicaraan bekas Perdana Menteri Han Duck-soo pada bulan sebelumnya.
Han berdepan pertuduhan membantu dan bersubahat dengan dalang pemberontakan berhubung pengisytiharan undang-undang tentera darurat oleh Yoon pada 3 Disember 2024, yang kemudiannya dibatalkan oleh Perhimpunan Kebangsaan.
Dalam keterangannya pada perbicaraan itu, Yoon berkata beliau telah merancang untuk mengadakan mesyuarat Kabinet dan memanggil anggota Kabinet tambahan sebelum Han mengemukakan cadangan berkenaan pada 3 Disember 2024, iaitu hari Yoon mengisytiharkan undang-undang tentera darurat yang kemudiannya dibatalkan oleh Dewan Negara.
Bagaimanapun, pasukan pendakwa khas berhujah bahawa Yoon pada mulanya tidak berhasrat mengadakan mesyuarat rasmi Kabinet kerana beliau hanya memanggil enam anggota Kabinet dan kemudian memanggil enam lagi selepas menerima nasihat Han.
Pasukan pendakwa khas sebelum ini memohon hukuman penjara dua tahun terhadap Yoon pada perbicaraan di mahkamah peringkat pertama dan denda 10 juta won (kira-kira AS$7,460) pada peringkat rayuan.- Bernama-Xinhua




