SIBU: Kerajaan Sarawak akan menjadikan insiden runtuhan lapan unit rumah kedai di Jalan Pahlawan pada 13 Februari lalu sebagai kajian kes bagi memperkukuh mekanisme pengurusan kejadian seumpamanya pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, kerajaan komited membantu semua pihak berkepentingan dalam usaha membina semula rumah-rumah kedai berkenaan.
“Kejadian seumpama itu amat jarang berlaku, malah merupakan insiden pertama dalam sejarah lebih 100 tahun bandar Sibu,” ujarnya pada sidang media, hari ini.
Sidang media itu turut dihadiri oleh peguam mewakili pemilik rumah kedai, Boston Ho, peguam Sii Yew Nei dan pelatih Rania Teoni.
Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan berkata, pemilik rumah kedai telah melantik pakar untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar runtuhan.
“Proses ini memerlukan masa kerana siasatan akan diteruskan dengan lebih terperinci selepas kerja-kerja perobohan dijalankan.
“Justeru, saya berharap orang ramai dapat bersabar dan memberi ruang kepada pemilik serta pihak berkuasa berkaitan yang sedang bekerjasama mencari penyelesaian terbaik,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Ho mengemukakan empat permohonan kepada kerajaan bagi membantu mempercepatkan usaha pembinaan semula rumah kedai tersebut.
Mengulas permohonan supaya kerajaan membantu membina semula kemudahan awam seperti sistem perparitan dan tempat letak kereta, Tiang berkata, beliau komited menggunakan peruntukannya bagi membantu membiayai komponen infrastruktur tersebut.
“Usaha pembinaan semula ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu bangunan rumah kedai dan kawasan awam. Saya akan membantu membiayai pembinaan semula kawasan awam supaya dapat meringankan beban kewangan pemilik,” jelasnya.
Mengenai cadangan pakej pinjaman mudah, Tiang berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan beberapa institusi perbankan bagi menawarkan pinjaman berkadar faedah rendah kepada pemilik rumah kedai.
Menurutnya, pihak bank sedang meneliti cadangan tersebut yang juga boleh dilaksanakan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
Beliau turut menyifatkan pembinaan semula rumah kedai itu wajar disegerakan memandangkan lokasinya yang strategik, selain bangunan tersebut mempunyai nilai yang sesuai dijadikan cagaran bagi mendapatkan pinjaman.
Mengenai cadangan penubuhan Pasukan Petugas Khas Sehenti, Tiang berkata, Pejabat Residen Sibu kekal sebagai agensi penyelaras utama dengan kerjasama semua jabatan dan agensi berkaitan.
Pada masa sama, beliau akan menyelaras kerjasama antara Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Jabatan Tanah dan Survei, Sarawak Energy, agensi bekalan air dan Pihak Berkuasa Perancang Negeri (SPA) bagi mempercepatkan kelulusan pelan bangunan, pelan kejuruteraan dan kerja-kerja pembinaan semula.
Menurutnya, pengalaman mengendalikan kes tersebut akan menjadi rujukan penting bagi membolehkan jentera kerajaan bertindak lebih pantas sekiranya kejadian serupa berlaku pada masa hadapan.
Sementara itu, mengenai permohonan pemilik rumah kedai untuk melanjutkan tempoh kerja-kerja perobohan, Tiang berkata, beliau percaya Majlis Perbandaran Sibu (MPS) tidak akan membantah sekiranya kerja tersebut disiapkan dalam tempoh Ogos hingga Oktober.
Oleh Akun Giman



