TEBEDU, 18 November: Keselamatan penduduk Rumah Panjang Kampung Tema Penggal terus diberi perhatian menerusi pelaksanaan projek pembinaan dan pemasangan tembok batu (block stone) bagi memperkukuh struktur tebing sungai di belakang rumah panjang berkenaan.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata, projek bernilai RM206,000 itu merupakan antara usaha pemulihan susulan kejadian bencana yang berlaku pada 7 Januari tahun ini.
Menurutnya, pelaksanaan projek berkenaan amat penting bagi mengurangkan risiko hakisan tebing sungai dan kejadian tanah runtuh yang boleh mengancam keselamatan penduduk setempat.
Beliau berkata demikian ketika majlis penyerahan projek siap bagi kerja-kerja pembinaan dan pemasangan tembok batu di lokasi berkenaan yang diadakan baru-baru ini.
Projek berkenaan dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Serian dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan struktur tebing sungai, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan kawasan kediaman penduduk.
Usaha itu juga memperlihatkan kepentingan tindakan pemulihan infrastruktur yang bukan sahaja menangani kesan bencana, malah membantu mengurangkan risiko kejadian sama berulang pada masa hadapan.
Dengan siapnya projek tersebut, penduduk Rumah Panjang Kampung Tema Penggal diharap dapat menikmati persekitaran kediaman yang lebih selamat dan terlindung daripada ancaman hakisan tebing sungai.
Oleh Adi Safarman




