LUBOK ANTU, 18 November: Kelab Bola Sepak Lubok Antu United menerima suntikan semangat baharu menjelang Kejohanan Bola Sepak Belia Sarawak 2026 yang bakal berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini menerusi tajaan kelengkapan jersi serta sumbangan air minuman daripada H Cafe.
Majlis ringkas penyerahan jersi itu disempurnakan oleh Ethan Huang Qi Sheng yang mewakili bapanya, Huang Huat Khai, kepada wakil pasukan Lubok Antu United, hari ini.
Sumbangan berkenaan merupakan tanda sokongan dan keprihatinan pihak penaja terhadap pembangunan sukan bola sepak serta usaha menggalakkan penglibatan golongan belia dalam aktiviti sukan di kawasan Lubok Antu.
Dalam pada itu, pihak Kelab Bola Sepak Lubok Antu United merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Huang Huat Khai iaitu pemilik H Cafe atas sokongan yang diberikan.
“Kelab Bola Sepak Lubok Antu United ingin mengucapkan terima kasih kepada Huang Huat Khai, atas sumbangan serta sokongan beliau kepada pasukan.
“Beliau bukan sahaja menaja kelengkapan jersi untuk pasukan Lubok Antu United FC bawah 14 tahun, malah turut menyumbangkan air minuman bagi membantu persiapan dan keperluan pemain sepanjang menghadapi Kejohanan Bola Sepak Belia Sarawak 2026 pada 21 dan 22 November ini,” menurut kenyataan kelab.
Dalam pada itu, Huang berkata, sokongan tersebut merupakan salah satu usaha untuk memberikan dorongan kepada golongan belia, khususnya pemain muda di Lubok Antu, agar terus aktif dalam sukan dan berpeluang mengembangkan bakat masing-masing.
Penajaan berkenaan diharap dapat meningkatkan motivasi pemain untuk memberikan persembahan terbaik, selain menyuntik keyakinan pasukan Lubok Antu United bawah 14 tahun dalam menghadapi kejohanan itu.
Oleh Adi Safarman




