PETRA JAYA: Sarawak mencipta sejarah baru apabila Rumah Bangau di Song, Kapit menjadi kampung dan rumah panjang pertama di Malaysia yang menggunakan hidrogen hijau sebagai sumber tenaga utama.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, Projek Hidrogen Solar Berkontena yang dikendalikan oleh Sarawak Energy itu menjadi penanda aras dalam memastikan kelestarian alam sekitar serta menyediakan bekalan elektrik yang mampan di negeri ini.
Katanya, projek perintis ini berjaya menyediakan bekalan elektrik 24 jam kepada penduduk Rumah Bangau, menggantikan teknologi sebelumnya yang dibangunkan melalui Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES).
“Walaupun kos hidrogen hijau pada masa ini lebih tinggi berbanding teknologi SARES, kami yakin kos ini akan berkurangan seiring dengan perkembangan teknologi.
“Jadi, ini akan menjadi pendekatan Sarawak Energy dan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi memenuhi hala tuju Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 iaitu kelestarian alam sekitar.
“Inisiatif ini sekali gus membantu untuk meningkatkan kelestarian alam sekitar kita dengan penggunaan tenaga hidrogen hijau ini dalam penjanaan bekalan elektrik di seluruh Sarawak pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Pameran Hidrogen Hijau di Menara Sarawak Energy di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan Sarawak sedang mengenal pasti rumah panjang dan kampung lain yang telah menerima projek SARES untuk dinaik taraf kepada teknologi hidrogen hijau.
“Senarai lokasi telah disediakan melalui kerjasama wakil rakyat, terutamanya di kawasan pedalaman seperti Baram, Kapit, Miri, dan Telang Usan.
“Kajian terperinci sedang dilakukan bagi memastikan kesesuaian pelaksanaan projek ini,” katanya.
Pada masa sama, Abdul Rahman mendedahkan bahawa penduduk Rumah Bangau menyambut baik inisiatif ini dan penghulu rumah panjang tersebut menyatakan bahawa bekalan elektrik stabil sepanjang masa.
Tambah Abdul Rahman, projek ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk mencapai liputan elektrik 100 peratus di seluruh Sarawak menjelang 2025.
“Kami akan terus mempergiatkan usaha ini dengan Sarawak Energy untuk memastikan matlamat ini tercapai,” katanya.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Sarawak Energy, Ir. James Ung.
Oleh Mohd Neenatul Aizal