NIAH: Regata Subis@Niah 2026 bukan sekadar pertandingan lumba perahu, sebaliknya menjadi platform untuk memperkukuh semangat kesukanan, persahabatan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Dato Lukanisman Awang, berkata Regata Subis turut menjadi wadah untuk menghimpunkan komuniti selain memelihara tradisi serta sukan air yang diwarisi sejak turun-temurun.
Katanya, penganjuran acara berkenaan penting dalam memperkenalkan warisan sungai kepada generasi muda supaya mereka memahami nilai sungai bukan sahaja sebagai sebahagian daripada alam sekitar, malah mempunyai kaitan rapat dengan sejarah, kehidupan dan budaya masyarakat setempat.
“Kalau tradisi ini kita terus hidupkan, generasi akan datang juga dapat merasai kemeriahan dan semangat Regatta Subis seperti yang kita raikan pada hari ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Regata Subis@Niah 2026 di Tebingan Sungai Niah, Sepupok, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sibuti berkata, Regata Subis turut membuka peluang untuk memperkenalkan Niah dan Daerah Subis kepada lebih ramai pengunjung dari luar kawasan.
Katanya, Niah mempunyai keunikan tersendiri dari aspek sejarah, budaya, alam semula jadi serta masyarakat yang menjadi tulang belakang pembangunan kawasan berkenaan.
“Pengiktirafan Taman Negara Niah sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO merupakan sesuatu yang patut dibanggakan dan harus kita jaga bersama,” katanya.
Menurutnya, kemeriahan Regata Subis turut memberi manfaat ekonomi kepada masyarakat setempat menerusi peningkatan kehadiran pengunjung.
Katanya, peniaga berpeluang meningkatkan jualan, pengusaha makanan mendapat lebih ramai pelanggan, manakala usahawan tempatan dapat memperkenalkan produk masing-masing kepada pengunjung.
“Kita mahukan acara seperti Regata ini memberi manfaat dalam semua aspek yang dapat dirasai oleh seluruh masyarakat,” katanya.
Majlis Perasmian Regata Subis@Niah 2026 telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusuf, menerusi rakaman video yang berlangsung di Tebingan Sungai Niah, Sepupok, hari ini.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Datuk Rosey Yunus, Pegawai Daerah Subis Ashard Samshu serta ketua-ketua masyarakat dan kaum Daerah Subis.
Oleh Adum Liu





