MIRI: Rumah kediaman atlet angkat berat Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) Sarawak, Christal Vencent Bonny di Tudan Desaras Blok 6 di sini musnah dalam kebakaran pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong PBT II Henry Jugah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak berkenaan kejadian itu sekitar jam 8.53 pagi.
Katanya, sepasukan anggota BBP Lutong bergegas ke lokasi yang terletak sejauh 11 kilometer dari balai.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO), didapati berlaku kebakaran rumah kayu yang didiami empat penghuni.
“Kejadian tidak melibatkan mangsa kerana ketika kebakaran tiada penghuni berada di rumah. Seorang bapa bersama anak perempuannya pergi bekerja, sementara si ibu pula menemani anaknya ke sekolah.
“Dua lagi penghuni rumah berkenaan iaitu Christal berada di Kuching bagi menghadapi Para SUKMA Sarawak dalam acara angkat berat,” katanya di sini.
Sementara Ricky John Umba juga di Kuching mewakili Majlis Sukan Sekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Lutong.
Henry berkata, kebakaran itu mengakibatkan rumah tersebut musnah sepenuhnya.
“Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 11.40 pagi dan punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Gambar
Pihak bomba memadam kebakaran di lokasi kejadian