
SADONG JAYA: Penduduk Kampung Sungai Buluh bakal menikmati kemudahan sukan yang lebih selesa apabila Projek Naik Taraf Padang Futsal di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026 diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM100,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, projek itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh kemudahan rekreasi luar bandar, khususnya bagi menyediakan ruang yang lebih kondusif kepada golongan belia menjalankan aktiviti sukan.
“Alhamdulillah, projek naik taraf Padang Futsal Kampung Sungai Buluh dengan peruntukan RM100,000 telah diluluskan di bawah RTP 2026. Semoga kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh belia dan seluruh penduduk kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ngiling Kelaya 2026 di Rumah Panjang Kampung Sungai Buluh, di sini, semalam.
Menurut Awla, kerajaan akan terus memberi perhatian terhadap keperluan pembangunan di Kampung Sungai Buluh apabila satu lagi cadangan projek melibatkan kerja menaik taraf longkang di hadapan ruai telah dikemukakan untuk pertimbangan di bawah RTP 2027.

“Saya telah mengemukakan cadangan projek naik taraf longkang di hadapan ruai untuk RTP 2027. Mudah-mudahan ia mendapat kelulusan supaya masalah saliran dapat diatasi dan keselesaan penduduk terus dipertingkatkan,” katanya.
Beliau berkata, usaha menaik taraf kemudahan asas dan rekreasi akan terus diperkasakan bagi memastikan setiap kampung di kawasan DUN Simunjan menerima manfaat daripada pelaksanaan projek pembangunan yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.

Katanya, beliau komited untuk terus memperjuangkan keperluan pembangunan di kawasan tersebut agar pelbagai projek yang dirancang dapat direalisasikan mengikut keutamaan masyarakat setempat.
Turut hadir, Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee.
Oleh Shikin Mahmud