Rosey gesa jentera GPS Bekenu kekal teguh hadapi PRN13

Facebook
WhatsApp
SIAP SIAGA...Datuk Rosey Yunus bersama anggotanya dari 35 ranting PBB Bekenu pada Majlis Pelancaran Jentera PRN13 Peringkat DUN N.71 Bekenu yang berlangsung di Dewan Masyarakat Bekenu hari ini.

BEKENU, 6 November: Bendera Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dipacak hendaklah sentiasa berada dalam keadaan tegak dan teguh sebagai lambang keteguhan serta komitmen parti itu untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat Sarawak.

Keadaan itu juga penting bagi mengelakkan sebarang tanggapan negatif terhadap GPS menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PRN13 Peringkat DUN N.71 Bekenu yang berlangsung di Dewan Masyarakat Bekenu, hari ini.

Katanya, pelancaran jentera hari ini melibatkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bekenu, manakala satu lagi pertemuan akan diadakan bersama parti komponen GPS yang lain, iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

“Pelancaran jentera GPS ini amat penting bagi memastikan kemenangan besar, selain mempergiat persiapan menghadapi PRN13, khususnya menjelang beberapa tarikh penting yang telah ditetapkan, iaitu penamaan calon pada 28 November, pengundian awal pada 8 Disember dan hari pengundian pada 12 Disember depan,” katanya.

Pada majlis itu, sebanyak 35 ranting PBB Bekenu menerima dokumen daftar pemilih bagi memastikan tahap kesiapsiagaan yang optimum serta membolehkan setiap ranting memulakan operasi bilik gerakan masing-masing.

Beliau yang juga Ketua PBB Cawangan Bekenu berkata, persiapan yang dilaksanakan meliputi penyelarasan dokumen daftar pemilih terkini, carta organisasi serta pembahagian tugas jawatankuasa di semua peringkat.

“Semua sayap parti termasuk wanita, pemuda dan belia telah diberikan peranan masing-masing bagi memastikan setiap peringkat organisasi dapat melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan serta memahami tugas yang perlu dilaksanakan,” katanya.

Oleh Adum Liu