


KUCHING: Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Jelukong di laluan Lebuh Raya Pan Borneo berdekatan Engkilili selepas Simanggang, dijangka mula beroperasi penuh pada 15 Mei ini.
JKR Sarawak dalam kenyataan hari ini menyatakan beberapa gerai juga telah mula beroperasi secara kecil-kecilan sebagai permulaan awal bagi memberi peluang kepada pengguna lebuh raya menikmati kemudahan dan suasana di R&R Jelukong.
Hari ini, Pengarah JKR Sarawak, Dr. Cassidy Morris telah mengadakan pemeriksaan persiapan operasi gerai makanan dan kedai serbaguna di R&R berkenaan.
“Lawatan tersebut bertujuan meninjau tahap kesiapsiagaan kemudahan serta memastikan semua aspek operasi berada dalam keadaan baik sebelum pembukaan penuh yang dijadual bermula pada 15 Mei 2026,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan kawasan juga sedang giat dilaksanakan melibatkan kemudahan tandas, surau serta kawasan persekitaran bagi memastikan keselesaan pengguna sentiasa berada pada tahap terbaik.
Menurut kenyataan itu lagi, kawalan keselamatan di kawasan R&R juga dipantau 24 jam bagi memastikan suasana yang selamat, teratur dan kondusif kepada pengunjung.