
SELEPAS berjaya dalam bidang pertanian, selebriti dan usahawan terkenal Datuk Rosyam Nor kini dalam proses meneroka penternakan ikan tilapia menggunakan teknologi bioflok.
Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 58, berkata projek itu yang dilaksanakan menerusi pembiayaan Agrobank, dibina di kawasan ladangnya yang terletak di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lanchang, Pahang.

Menurutnya, kolam bioflok yang dibangunkan secara moden dan sistematik serta mesra alam biasanya berbentuk bulat seperti kolam renang dan digunakan untuk membela ikan dalam persekitaran yang terkawal.
“Sebelum ini, saya ada juga membuat penternakan lembu dan kambing tetapi hanya secara kecil-kecilan. Kali ini, saya akan memberi tumpuan kepada penternakan ikan tilapia dengan kaedah bioflok,
“Insya-Allah, dalam masa sebulan lagi saya akan bermula dengan 50 kolam,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas sesi Temu bual Radio: Di Sebalik Kaca TV, Personaliti Sebenar dan Figura Umum, di sini bariu-baru ini.
YAKIN BERI PULANGAN
Bintang filem Memoir Seorang Guru itu yakin projek berkenaan dapat memberi pulangan yang stabil dan berterusan kerana ikan air tawar tersebut adalah antara pilihan utama pengguna di negara ini.
“Tilapia ini semua orang makan. Kalau ikut pasaran sekarang, permintaan sentiasa ada. Tambahan pula, dengan sistem bioflok, kita boleh hasilkan ikan dalam masa empat bulan sahaja berbanding kaedah biasa yang ambil masa lebih lama,” katanya yang turut merancang untuk memasarkan hasil ternakan itu di pasar raya ST Rosyam Mart miliknya nanti.
Selain itu, Rosyam juga merancang untuk membangunkan sebuah pusat kecemerlangan di kawasan sama, bagi memberi peluang kepada golongan muda yang berminat dalam bidang pertanian dan perikanan mendapatkan latihan dan pendedahan secara langsung.
Sementara itu, mengulas lakonannya sebagai Iman dalam drama bersiri Keluarga Itu, Rosyam menegaskan watak yang dibawanya tersebut ialah satu bentuk penyampaian dakwah dan cerminan realiti masyarakat.

“Saya tak rasa watak itu menjatuhkan maruah saya, sebaliknya itu cara saya berdakwah melalui lakonan. Penonton perlu menonton drama itu dari awal hingga akhir dan bukannya daripada potongan beberapa babak di TikTok, barulah mereka (penonton) akan faham kepentingan watak itu.
“Saya mahu penonton berfikir dan sedar akan isu tersebut juga berlaku dalam sesebuah keluarga hari ini, dan saya tidak rasa watak itu mengurangkan kredibiliti saya sebagai pelakon kerana Rosyam Nor dikenali sebagai pelakon versatil, tapi saya akan rasa lebih hina lagi kalau saya gagal membawa watak tersebut dengan baik,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Rosyam bakal menjalani penggambaran filem Banduan bersama-sama dengan Datuk Aaron Aziz, selain bakal muncul dalam tiga filem tempatan, iaitu Keluang Man, The Original Gangster dan Susuk Bidadari yang kesemuanya dijangka menemui penonton pada tahun ini juga. – Bernama