KUCHING: Penggiat kraf muda daripada etnik Kayan, Fedrick Ding berusaha membantu wanita di kawasan pedalaman yang menjadikan kemahiran menganyam rotan sebagai sumber pendapatan dengan mengubah hasil kraf tangan anyaman rotan bermotifkan tradisional kepada produk seperti kasut, beg tangan dan barangan fesyen lain yang lebih kontemporari.
Ding, 32, dari Tubau, Bintulu, telah bekerjasama dengan para penganyam di pedalaman untuk membangunkan produk yang menggabungkan kemahiran kraf tangan tradisional dengan reka bentuk kontemporari.
Usaha tersebut bermula enam tahun lepas apabila bapa saudaranya, seorang pembuat beg rotan di Tubau, meminta bantuan untuk memasarkan produk berkenaan berikutan kekangan pandemik COVID-19.
Ding berkata pandemik telah menjejaskan kehidupan komuniti luar bandar yang bergantung kepada perjalanan ke bandar untuk menjual hasil kraf tangan mereka.
“Apabila berlaku pandemik, penduduk kampung tidak mempunyai pendapatan. Jualan hasil kraf tangan bapa saudara saya yang berada di kampung (Tubau) merosot kerana dia tidak dapat keluar ke bandar untuk memasarkan produknya,” katanya kepada Bernama.
Keadaan itu mendorong Ding meneroka kaedah baharu bagi membawa produk rotan tradisional ke pasaran lebih luas, yang akhirnya membuatkan beliau mengembangkan rangkaian produk daripada beg kepada kasut serta barangan fesyen seperti hiasan manik bermotif etnik.
“Kemudian kami menyedari bahawa apa yang kami hasilkan berbeza daripada produk yang sudah ada di pasaran,” katanya, menambah apabila perniagaan dan pasaran beransur-ansur dibuka semula selepas pandemik beliau melihat peluang baharu untuk memasarkan produk rotan kepada pasaran yang lebih luas.
Ding mendapatkan bekalan rotan, iaitu bahan utama bagi produknya daripada penduduk kampung di Bakun dan Belaga, selain dari kampung halamannya yang terletak kira-kira satu setengah jam perjalanan dengan kereta dari bandar Bintulu.
Dalam keadaan tertentu, proses mendapatkan rotan di kawasan berkenaan memerlukan perjalanan kira-kira dua jam menaiki bot dari rumah panjang ke kawasan hutan yang lebih jauh sebelum bahan tersebut diproses untuk anyaman.
Ding berkata aktiviti mencari rotan di hutan lazimnya dilakukan oleh pasangan suami isteri, dengan kaum wanita turut terlibat dalam mengumpul bahan mentah serta proses menyediakan dan menganyam rotan.
Beliau mengakui kagum dengan kemahiran menganyam wanita di kawasan berkenaan yang disifatkan amat luar biasa.
Ding berkata bakat dan hasil kerja mereka wajar mendapat pengiktirafan bukan sahaja di kampung, malah di luar komuniti mereka selain diberi peluang untuk menjadikan kemahiran tersebut sebagai sumber pendapatan yang mampan.
“Setelah melihat hasil kerja mereka, saya sedar mereka perlu diberi peluang. Mereka mempunyai kemahiran dan kraf tangan yang dihasilkan adalah luar biasa,” katanya, menambah ramai penggiat kraf yang bekerjasama dengannya berusia 50 tahun ke atas dan beliau tidak pernah tawar-menawar dari segi harga sebagai penghargaan terhadap kehalusan kerja tangan mereka.
Ding berkata golongan muda sebelum ini kurang berminat menceburi bidang anyaman kerana pendapatannya tidak konsisten dan lambat, justeru beliau berusaha melakukan perubahan dari aspek tersebut.
“Jadi, setiap kali saya membuat pesanan, berapa sahaja harga yang mereka tetapkan itulah harga yang saya bayar. Jika saya rasa harganya RM100, maka RM100 itulah harganya kerana itu pendapatan mereka untuk membantu keluarga.
“Usaha mengubah persepsi terhadap produk anyaman rotan juga penting bagi memastikan kelangsungan kraf tangan ini. Kami tidak mahu, sebagai pengguna mereka melihatnya hanya sebagai cenderamata kerana nilainya jauh lebih daripada itu,” katanya, menambah pengguna tempatan masih cenderung mengaitkan rotan dengan cenderamata berbanding melihatnya sebagai produk fesyen.
Sebagai usaha mencari pasaran luar dari Sarawak, Ding baru-baru ini menyertai Festival Pribumi Borneo di Kuala Lumpur, yang menyaksikan beliau menjual lima pasang kasut dan dua beg dalam masa tiga hari.
Kasut dan beg hasil tangannya dijual pada harga bermula RM599, manakala pelanggan dari Australia dan Singapura turut menunjukkan minat, selain kasut hasil rekaannya juga pernah dipamerkan di London College of Fashion.
Bagi memperkukuh kemahiran dalam bidang kraf tangan, Ding turut mengakui beliau mendapat bimbingan daripada pereka fesyen Malaysia yang terkenal di peringkat antarabangsa, Prof Datuk Jimmy Choo.
Kini, cita-cita Ding bukan sekadar membangunkan jenamanya sendiri malah berharap dapat bekerjasama dengan lebih ramai penggiat kraf di seluruh Sarawak dan seterusnya menghubungkan pengusaha kraf luar bandar dengan pasaran yang lebih luas, termasuk pasaran antarabangsa.
Beliau percara di sebalik setiap kasut atau beg tangan yang dianyam, terdapat tangan, ilmu pengetahuan dan sumber kehidupan penggiat kraf luar bandar, warisan yang beliau harap dapat terus dipelihara dan dikembangkan, satu anyaman demi satu anyaman. – Bernama





