KUCHING: Bermula dengan suara yang bergema di ruang media sosial, siapa sangka ia menjadi pintu kepada sebuah perjalanan yang lebih besar buat anak Sarawak, Bob Yunus.
Daripada sekadar mencuri perhatian warganet, perjalanan beberapa tahun dalam industri muzik telah membawa Bob mengenali dunia seni yang sebenar, iaitu sebuah dunia yang bukan hanya menuntut bakat, tetapi juga keberanian, kesabaran dan kesungguhan untuk terus bertahan.
Bagi Bob, perjalanan itu masih jauh. Namun, setiap langkah yang dilalui sedikit demi sedikit membentuk dirinya daripada seorang penyanyi yang masih mencari identiti kepada seorang anak seni yang semakin jelas tentang arah tuju kerjayanya.
“Jika dahulu saya lebih banyak belajar untuk mencari identiti dan keyakinan sebagai seorang penyanyi, kini saya lebih matang dalam memahami muzik, cara bekerja dan kehendak industri.
“Saya anggap setiap pencapaian dan cabaran yang dilalui sebagai proses untuk menjadi artis yang lebih baik,” katanya kepada Utusan Sarawak.

Namun, membawa suara dari Bumi Kenyalang untuk menembusi pasaran yang lebih luas bukanlah satu perjalanan yang mudah.
Bob mengakui antara cabaran terbesar sebagai anak Sarawak ialah mendapatkan peluang dan ruang untuk memperkenalkan karya kepada khalayak di luar negeri ini, termasuk di Semenanjung.
Jarak dan keterbatasan peluang tidak sesekali mahu dijadikan alasan. Sebaliknya, cabaran itu menjadi dorongan untuk membuktikan bahawa bakat dari Sarawak juga mempunyai tempat dalam industri muzik tanah air.
“Saya melihat cabaran itu sebagai satu motivasi untuk terus membuktikan bahawa bakat dari Sarawak juga mampu bersaing.
“Saya mahu membawa nama Sarawak melalui muzik dan pada masa yang sama memperkenalkan keunikan budaya serta identiti kita kepada lebih ramai orang,” ujarnya.

Dalam perjalanan itu, media sosial menjadi antara jambatan penting yang menghubungkan Bob dengan pendengar di luar Sarawak.
Platform seperti TikTok, katanya, telah mengubah landskap industri dengan memberi ruang kepada bakat baharu untuk memperkenalkan suara dan karya sendiri tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada saluran konvensional.
Bagi Bob, ruang digital itu bukan sekadar tempat untuk mengejar perhatian atau populariti, sebaliknya peluang untuk memperlihatkan bahawa Sarawak mempunyai bakat dan identiti muzik tersendiri yang boleh diketengahkan kepada dunia luar.
Lebih daripada itu, Bob menyimpan hasrat untuk suatu hari nanti menghasilkan karya yang apabila didengar, pendengar dapat merasakan ‘jiwa Sarawak’ di dalamnya.
“Saya mahu karya yang dihasilkan bukan sahaja sedap didengar, tetapi pada masa yang sama mempunyai sentuhan Sarawak yang membuatkan orang tahu dari mana asal saya.
“Kalau ada peluang, saya juga ingin menggabungkan elemen muzik dan budaya Sarawak dengan muzik moden supaya ia lebih mudah diterima oleh generasi sekarang, termasuk pendengar di luar Sarawak,” katanya.

Kini, Bob tidak mahu sekadar dikenali sebagai penyanyi yang pernah tular di media sosial.
Sasarannya lebih besar, iaitu untuk terus menghasilkan karya yang matang dan berkualiti, memperluaskan muziknya kepada khalayak baharu dan pada masa yang sama membawa nama Sarawak bersamanya ke mana sahaja perjalanan seni itu membawanya.
Beberapa perancangan, termasuk karya baharu dan kemungkinan kolaborasi bersama artis lain, juga sedang disusun. Namun, Bob memilih untuk menyimpan butirannya buat sementara waktu.
Apa yang pasti, perjalanan yang bermula di media sosial itu belum sampai ke penghujungnya.
Buat Bob, perjalanan seninya masih panjang dan setiap langkah selepas ini menjadi ruang untuk terus berkembang, mencipta karya yang lebih bermakna serta membawa identiti Sarawak bersamanya dalam mengejar impian di pentas yang lebih luas.
Oleh Norman B





