KUALA LUMPUR: Persatuan Insurans Hayat Malaysia (Liam) meminta kerajaan mengecualikan skim insurans pekerja berkelompok daripada cukai perkhidmatan sebanyak lapan peratus di bawah Belanjawan 2027.
Dalam kenyataan hari ini, persatuan itu memaklumkan cadangan pengecualian berkenaan dapat mengurangkan kos penyediaan manfaat insurans kepada pekerja, selain menggalakkan lebih banyak majikan menyediakan serta mengekalkan perlindungan insurans untuk pekerja masing-masing.
Menurut Liam, maklumat statistik yang diterbitkan menunjukkan kurang daripada separuh pekerja di Malaysia dilindungi di bawah skim insurans berkelompok, sekali gus mewujudkan jurang perlindungan yang ketara.
“Situasi ini membangkitkan kebimbangan, terutama dalam memastikan lebih banyak pekerja Malaysia, khususnya dalam kalangan pekerja berpendapatan rendah dan sederhana, mendapat manfaat daripada perlindungan insurans,” maklum persatuan itu.
Liam juga menyifatkan cadangan berkenaan dapat membantu mengurangkan kos berkaitan, terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Langkah itu juga dapat mengukuhkan daya tahan kewangan isi rumah terhadap sebarang bebanan kewangan luar jangka akibat kematian, kecacatan dan perbelanjaan perubatan.
“Liam percaya akses lebih meluas terhadap perlindungan penjagaan kesihatan swasta turut menjadi pelengkap kepada penjagaan kesihatan awam. Ini membolehkan pekerja yang dilindungi mendapat rawatan di fasiliti penjagaan kesihatan swasta, sekali gus membantu mengurangkan tekanan ke atas sumber penjagaan kesihatan awam,” maklum persatuan itu.
Pada masa sama, Liam turut menggesa agar layanan cukai bagi syarikat insurans semula yang berdomisil di Malaysia dapat disemak semula berbanding syarikat asing yang menyediakan kapasiti kemudahan itu kepada pasaran Malaysia.
Ini berikutan syarikat insurans semula yang berdomisil di Malaysia tertakluk kepada cukai pendapatan Malaysia bagi keuntungan berkenaan, sedangkan syarikat asing tanpa bentuk usaha tetap (PE) di Malaysia boleh bersaing bagi perniagaan sama di negara ini tanpa liabiliti cukai pendapatan Malaysia yang sepadan.
“Perbezaan layanan cukai itu boleh menyebabkan hasil cukai keseluruhan yang tidak setara bagi syarikat insurans semula yang bersaing untuk perniagaan sama di negara ini, malah mungkin menjejaskan daya saing syarikat berdomisil di Malaysia,” maklum Liam.
Liam juga menyifatkan sektor insurans semula domestik yang kukuh sebagai penting untuk Malaysia kerana dapat membantu mengekalkan kapasiti segmen itu dalam negara, memperkukuh keupayaan pengurusan risiko domestik serta menyumbang kepada daya tahan dan pembangunan ekosistem insurans tempatan.
“Sehubungan itu, Liam meminta kerajaan mempertimbangkan langkah-langkah untuk menggalakkan kesaksamaan cukai lebih tinggi dan mewujudkan medan persaingan lebih seimbang antara syarikat insurans semula berdomisil di Malaysia dengan syarikat insurans semula asing.
“Ini adalah sejajar dengan objektif dasar cukai Malaysia yang lebih luas serta perkembangan percukaian antarabangsa,” maklum Liam.
Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan pada 9 Oktober 2026. – Bernama



