BEKENU, 17 Oktober: Kerjasama dan sokongan penduduk amat penting bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan di Kampung Sinop berjalan lancar, sekali gus membolehkan kemudahan asas yang diperlukan dapat disediakan demi kesejahteraan masyarakat setempat.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus berkata, penduduk perlu memberikan kerjasama, termasuk tidak menghalang laluan yang diperlukan untuk kerja pembinaan jalan menghubungkan Kampung Sinop dengan Kampung Rambai dan Kampung Bulau.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Dewan Serbaguna Kampung Sinop yang dinaik taraf dengan peruntukan RM70,000 menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2026, hari ini.
Menurutnya, projek yang bermula pada 17 Julai lalu itu berjaya disiapkan pada hujung September, lebih awal daripada jadual asal yang ditetapkan pada 16 November 2026.

Selain itu, beberapa projek pembangunan lain turut dirancang bagi meningkatkan kemudahan dan keselesaan penduduk kampung berkenaan.
Antaranya termasuk kerja menaik taraf jeti dengan kos RM30,000 serta pembinaan laluan paip ke arah laut yang dianggarkan menelan belanja RM70,000.
Projek bekalan air ke kawasan seberang sungai yang melibatkan kira-kira 10 rumah, dengan anggaran kos RM165,750, pula kini dalam proses tender.
Dalam pada itu, Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu turut menghadiri Program Kursus dan Latihan Roti Asas anjuran Biro Wanita Kampung Sinop.
Beliau berkata, program itu bertujuan memberikan pendedahan kepada peserta mengenai kemahiran asas membuat roti yang boleh dimanfaatkan untuk kegunaan keluarga atau dikembangkan sebagai sumber pendapatan tambahan.

Katanya, penyertaan program seumpama itu perlu diperluas dengan melibatkan lebih ramai wanita di kampung berkenaan, bukan hanya dalam kalangan ahli jawatankuasa.
“Penyertaan lebih ramai wanita penting bagi meningkatkan kemahiran serta membantu menambah pendapatan isi rumah,” katanya.
Beliau berharap inisiatif pembangunan fizikal dan program peningkatan kemahiran masyarakat dapat bergerak seiring bagi meningkatkan kesejahteraan serta taraf hidup penduduk Kampung Sinop.
Oleh Adum Liu




