KUCHING, 27 November: Projek tebatan banjir di sepanjang Jalan Mendu masih jauh daripada siap meskipun telah melepasi lebih sembilan bulan daripada tarikh asal penyiapannya pada Februari 2026, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kelewatan dan pemantauan projek berkenaan.
Pembantu khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian berkata, kelewatan berpanjangan itu tidak boleh diterima kerana projek berkenaan memberi kesan langsung terhadap kehidupan harian dan keselesaan penduduk di kawasan Padungan.
Beliau berkata, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng, pada 30 Oktober lalu memaklumkan bahawa projek itu dijangka siap menjelang November tahun ini.
“Bagaimanapun, berdasarkan kemajuan kerja di tapak ketika ini, sukar untuk melihat bagaimana janji tersebut dapat ditunaikan. Malah, projek itu kelihatan masih memerlukan beberapa bulan lagi untuk disiapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kong mempersoalkan berapa lama lagi penduduk perlu menunggu sebelum MBKS menunaikan komitmennya untuk menyiapkan projek berkenaan.
Beliau turut mempersoalkan sama ada kepimpinan MBKS dan ahli-ahli majlis telah memantau kemajuan kerja kontraktor serta mendapatkan penjelasan berhubung kelewatan yang berpanjangan itu.
“Jika projek ini sudah jauh ketinggalan daripada jadual asal, orang ramai berhak mendapat penjelasan yang jelas dan jujur. Bagaimana pula dengan penyeliaan projek ini? Di manakah kesegeraannya?” soalnya.
Kong turut membangkitkan isu kebocoran besar yang didakwa masih belum diselesaikan, selain mendakwa tiada pekerja berada di tapak projek ketika beliau membangkitkan perkara tersebut.
Beliau berkata, Datuk Bandar dan ahli-ahli majlis MBKS yang mewakili kawasan terjejas tidak seharusnya sekadar mengumumkan tarikh penyiapan baharu tanpa memastikan kerja-kerja dilaksanakan mengikut perancangan.
“Tanggungjawab mereka adalah memastikan projek awam dipantau dengan baik, disiapkan mengikut jadual dan memberi manfaat kepada penduduk yang memerlukannya.
“Kepimpinan MBKS dan ahli-ahli majlis perlu berhenti membuat janji dan mula menunjukkan hasil. Penduduk Padungan berhak mendapat perkhidmatan yang lebih baik daripada kelewatan berulang, perubahan tarikh penyiapan dan pelbagai alasan,” katanya.
Oleh Connie Chieng



