BINTULU, 27 November: Daripada sekadar direbus, digoreng dan dijadikan kuih tradisional, ubi kayu kini berpotensi menjadi produk makanan bernilai tambah yang mampu membuka peluang pendapatan kepada kaum wanita di rumah panjang.
Potensi itu diketengahkan menerusi Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) yang memfokuskan pemprosesan makanan berasaskan nugget ubi kayu, anjuran Pejabat Pertanian Daerah Sebauh melalui Seksyen Industri Asas Tani di Rumah Mahmud Perit, Sungai Gusi, Kelabat Pandan, Sebauh baru-baru ini.
Bagi Rebecca Amau Jelema, 57, seorang suri rumah, pendedahan mengenai kaedah menghasilkan nugget berasaskan ubi kayu bukan sekadar memperkenal cara penyediaan makanan baharu, malah membuka peluang kepada wanita rumah panjang untuk meneroka kegiatan ekonomi berasaskan hasil tanaman tempatan.

Beliau menyifatkan program itu sebagai inisiatif yang wajar dipuji kerana memberikan kemahiran praktikal, meningkatkan keyakinan wanita serta memperluas peranan mereka dalam membantu ekonomi keluarga.
Menurutnya, sebelum ini, penduduk rumah panjang lebih banyak memanfaatkan ubi kayu untuk kegunaan sendiri.
Daunnya dijadikan ulam dengan cara ditumbuk halus sebelum digoreng, manakala ubinya direbus, digoreng atau diparut untuk menghasilkan kuih tradisional.
Bagaimanapun, pengenalan kaedah pemprosesan menjadi nugget membuka peluang untuk mempelbagaikan penggunaan tanaman itu sebagai produk yang mempunyai nilai pasaran.
“Pada pandangan saya, nugget ubi kayu ini antara produk yang paling sesuai untuk kaum wanita di rumah panjang dijadikan sumber pendapatan sampingan kerana bahan mentahnya mudah dan murah, selain cara membuatnya juga mudah,” katanya.
Beliau berkata, produk berkenaan sesuai dinikmati oleh pelbagai peringkat umur dan boleh dipasarkan dalam dua bentuk, sekali gus memberikan pilihan kepada kaum wanita yang berminat mengusahakannya secara kecil-kecilan.
Mengulas sambutan peserta, Rebecca berkata l, kaum wanita menunjukkan minat yang menggalakkan walaupun pada awalnya terdapat segelintir yang malu dan kurang yakin untuk mencuba.
“Walaupun pada awalnya ada yang malu-malu dan ragu-ragu, apabila latihan bermula, kebanyakan mereka menunjukkan semangat yang tinggi. Itu yang saya lihat sepanjang program berlangsung,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap program seumpama itu tidak terhenti setakat satu penganjuran, sebaliknya diteruskan dan diperluaskan kepada lebih banyak komuniti rumah panjang.
“Harapan saya memang besar. Saya berharap program seumpama ini bukan dibuat sekali sahaja, tetapi diteruskan dan diperluaskan kerana kesannya memang nyata kepada ekonomi penduduk rumah panjang,” katanya.
Usaha mempelbagaikan pemprosesan hasil pertanian tempatan bukan sahaja berpotensi meningkatkan nilai tanaman, malah membantu mengurangkan pembaziran dan membuka ruang kepada kegiatan ekonomi berskala kecil dalam kalangan masyarakat luar bandar.
Oleh Carolyne Utih




