PETRA JAYA: Sebanyak 234 daripada 712 Projek Rakyat telah siap sepenuhnya setakat ini, manakala 478 lagi projek masih dalam pelbagai proses pelaksanaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kesemua 712 projek ini melibatkan dana sebanyak RM9.5 bilion merangkumi kemudahan awam kepada rakyat, jalan perhubungan dan infrastruktur asas.
Antara projek yang berjaya disiapkan setakat ini ialah projek naik taraf lima bulatan di Kota Samarahan; Tukun Tiruan Fasa 1; pembinaan bangunan Pertubuhan Peladang Sarawak; mitigasi banjir dan saliran di Taman Ecopark di Miri; Jambatan Marudi; naik taraf Tebingan Sungai Limbang Fasa 2; perlKampung Sundar Fasa 2, naik taraf jalan; saliran dan lot kediaman di Skim Perluasan Kampung Igan dan pembangunan Peace Park di Sri Aman.
“Empat lagi Projek Rakyat dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun depan iaitu, Skim Perluasan Kampung Jelutong di Jepak; pembinaan jalan di Kampung Medong, Lebrasau, Kampung Klid di Dalat; pemindahan dan pembinaan semula Sekolah Kebangsaan (SK) Pulo dan Skim Perluasan Kampung Hulu Kabong menjelang 2025,” katanya yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II.
Beliau berkata demikian ketika menggulunb perbahasan kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di sini hari ini.
Katanya, kerajaam Sarawak akan terus melaksanakan projek-projek baharu yang telah dikenal pasti iaitu penurapan Jalan Ulu Tinjar, pembangunan kemudahan awam di Pusat Pentadbiran Bersepadu Mulu, ekosistem Inovasi Digital Sarawak dan penurapan Jalan Long Teran Kanan.
“Ini termasuk pembinaan Jambatan Sungai Tinjar ke Long Teran Batu dan Long Teran Kiri, saluran paip khas dari Takungan Berawan ke Stesen Peningkat Tekanan Lubok Tuan, perluasan kampung bersepadu di Matang Batu 10 dan Sungai Maong Fasa 1 dan pembinaan jambatan Penakub Ulu di Mukah,” katanya.