KUCHING, 26 Oktober: Forum Urban Sarawak (SUF) 2.0 menekankan kepentingan kerjasama antara pihak berkuasa tempatan (PBT), kerajaan dan sektor penyelidikan dalam membangunkan bandar yang berdaya tahan, inklusif serta bersedia menghadapi cabaran masa depan.
Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman, berkata PBT berperanan penting sebagai penghubung antara kerajaan dengan masyarakat, khususnya dalam menyampaikan keperluan dan aspirasi rakyat serta menterjemahkan dasar kepada perkhidmatan yang memberi manfaat secara langsung.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada sesi pagi SUF 2.0 di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC),hari ini.
Menurutnya, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) bersama PBT lain terus melaksanakan inisiatif pembangunan bandar pintar, perkhidmatan digital, kecekapan tenaga, penyediaan ruang hijau dan kesejahteraan komuniti.
Beliau menegaskan bahawa keberkesanan pembangunan bandar bergantung pada keupayaan menterjemahkan perancangan kepada pelaksanaan yang dapat dilihat dan dirasai oleh masyarakat.
Sesi pagi forum diteruskan dengan ucaptama bertajuk Membina Bandar Yang Bersedia Menghadapi Masa Depan (Building Future-Ready Cities) yang disampaikan Timbalan Wakil Residen Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bagi Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Besian Xhezo.
Forum turut menampilkan sesi pleno bertajuk Tadbir Urus Bandar Masa Depan: Dasar Perbandaran untuk Daya Tahan, Inovasi dan Keterangkuman (Governing the Future City: Urban Policies for Resilience, Innovation and Inclusion), yang membincangkan dasar dan tadbir urus bandar bagi memperkukuh daya tahan, menggalakkan inovasi serta memastikan pembangunan inklusif.

Sesi berkenaan menampilkan Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Abdullah Julaihi, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Desmond Douglas Jerukan serta Felo Penyelidik Profesor di Pusat Lee Kuan Yew bagi Bandar Inovatif, Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura, Harvey Neo.
Perbincangan merangkumi cabaran pembangunan bandar, termasuk perubahan iklim, keperluan infrastruktur, kemajuan teknologi dan kesejahteraan masyarakat, selain kepentingan kerjasama antara pelbagai pihak dalam memastikan dasar bandar dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Majlis perasmian SUF 2.0 dijadualkan disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada petang ini.
Oleh Shikin Mahmud




