Abang Johari zahir takziah, kenang legasi khidmat bakti Tun Dr Siti Hasmah

Facebook
WhatsApp
ABANG Johari dalam ucapannya ketika menyampaikan takziah atas pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali serta mengenang jasa beliau kepada negara. Foto UKAS

KUCHING, 26 Oktober: Khidmat bakti Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dalam bidang perubatan, kesihatan awam dan kebajikan masyarakat meninggalkan sumbangan besar kepada negara, khususnya menerusi keprihatinan beliau terhadap kesejahteraan golongan wanita, ibu dan kanak-kanak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Allahyarhamah merupakan tokoh wanita yang banyak berjasa kepada masyarakat dan sumbangan beliau dalam pelbagai bidang akan terus dikenang.

Abang Johari yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) berkata, sepanjang hayatnya, Allahyarhamah memperlihatkan ketabahan, kesederhanaan dan semangat pengabdian yang tinggi, selain mempunyai sumbangan tersendiri dalam memperjuangkan kebajikan masyarakat.

“Beliau bukan sahaja menjadi pendamping setia kepada Tun Dr Mahathir, malah mempunyai sumbangan tersendiri dalam memperjuangkan kebajikan masyarakat, khususnya golongan wanita, ibu dan anak,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Ke-65 di sebuah hotel di sini, semalam.

ALLAHYARHAMAH Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali yang banyak menyumbang dalam bidang perubatan, kesihatan awam dan kebajikan masyarakat, khususnya dalam memperjuangkan kesejahteraan wanita, ibu dan kanak-kanak.

Pada awal ucapannya, Abang Johari turut menyampaikan rasa dukacita kepada Penasihat Khas PERKIM, Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh ahli keluarga atas pemergian isteri tercinta beliau yang kembali ke rahmatullah pada 28 September lalu.

Beliau menyifatkan pemergian Allahyarhamah sebagai kehilangan besar bukan sahaja kepada Tun Dr Mahathir dan keluarga, malah kepada negara yang turut menerima manfaat daripada sumbangan serta keprihatinan beliau terhadap kesejahteraan rakyat

Sebagai tanda penghormatan, semua hadirin turut bersama-sama menghadiahkan bacaan surah al-Fatihah buat Allahyarhamah pada permulaan majlis berkenaan.

Bagi pihak kepimpinan dan keluarga besar PERKIM, Abang Johari mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

Beliau turut mendoakan agar Tun Dr Mahathir dan seluruh ahli keluarga dikurniakan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.

Oleh Afiq Sallehi

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 26 Oktober: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Isnin dalam persekitaran sentimen berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran