KUALA LUMPUR, 26 Oktober: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menekankan kepentingan pelajar yang menyewa kediaman di luar kampus memaklumkan lokasi tempat tinggal mereka kepada pihak universiti bagi memudahkan pemantauan.
Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pemantauan agak sukar dilakukan kerana terdapat pelajar yang mengurus sendiri urusan penyewaan kediaman tanpa melalui pihak universiti.
“Jadi, perkara itu agak sukar untuk kita pantau. Tetapi, yang kita tekankan ialah supaya mereka sentiasa memaklumkan keberadaan mereka, tempat (tinggal) mereka,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) tentang cadangan KPT bekerjasama dengan kerajaan negeri dan pemilik hartanah bagi menyediakan rumah sewa pelajar pada kadar terkawal di sekitar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sementara menunggu kolej kediaman baharu disiapkan.
Zambry berkata terdapat universiti awam dan politeknik yang bekerjasama dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar untuk mengurus petempatan di kawasan tertentu, manakala sebahagian pelajar memilih untuk menyewa sendiri.
Beliau berkata cadangan penyediaan rumah sewa pelajar pada kadar terkawal turut dipertimbangkan bagi memenuhi keperluan penginapan mahasiswa, namun pelaksanaannya bergantung pada kapasiti universiti dan kedudukan kewangan institusi berkenaan.
Cadangan itu, katanya, turut dikemukakan oleh majlis perwakilan siswa dan siswi, dengan beberapa universiti dikenal pasti memerlukan perhatian dan keutamaan dalam aspek penginapan pelajar.
Berhubung bantuan sewa bersasar kepada pelajar B40 yang tidak mendapat tempat di kolej kediaman, Zambry berkata golongan itu diberi keutamaan untuk tinggal di asrama, bersama-sama pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), atlet dan pelajar beruniform.
Menjawab soalan asal Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Bandar Tun Razak) mengenai usaha menangani isu kekurangan petempatan pelajar di IPTA, beliau berkata kerajaan bekerjasama dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi membangunkan kemudahan penginapan mahasiswa.
Beliau berkata antaranya ialah Residensi Mahasiswa Universiti Malaya yang dijangka siap pada 2031 dan memberikan manfaat kepada 10,000 pelajar.
Selain itu, Belanjawan 2027 mengumumkan peruntukan RM750 juta oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) bagi pembangunan Projek Vista Kampus di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), sebelum diperluas ke enam universiti lain.
Menjawab soalan tambahan Dr Wan Azizah tentang insentif kepada pihak swasta untuk membangunkan kolej kediaman, Zambry berkata KPT, Kementerian Kewangan, KWAP dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) sedang mengadakan perbincangan bagi memantapkan pelaksanaan pendekatan kerjasama awam–swasta (PPP) hibrid untuk memberikan manfaat kepada universiti dan pelabur. – Bernama




