FRANKFURT, 26 Oktober: Pihak kawalan trafik udara Jerman mengesahkan satu kejadian luar biasa di Lapangan Terbang Frankfurt minggu lepas apabila sebuah pesawat Pegasus Airlines cuba berlepas ke arah yang salah, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Jurucakap Kawalan Trafik Udara Jerman (DFS) pada Ahad mengesahkan bahawa pesawat Airbus A321 yang dalam penerbangan ke Istanbul itu memasuki landasan ke arah yang salah pada Selasa sebelum membatalkan percubaan berlepas ketika bergerak pada kelajuan agak rendah, iaitu 65 kilometer sejam.
Jurucakap itu menyifatkan kesilapan juruterbang syarikat penerbangan tambang rendah Turkiye berkenaan sebagai “sesuatu yang benar-benar luar biasa”.
“Kejadian seperti ini jarang berlaku, khususnya di Jerman,” katanya.
Pesawat itu telah diberikan kebenaran untuk berlepas ke arah selatan menggunakan Landasan 18 di lapangan terbang paling sibuk di Jerman itu.
Bagaimanapun, pesawat berkenaan sebaliknya mula bergerak ke arah utara selepas memasuki landasan melalui laluan masuk yang ditetapkan, menurut laporan awal portal berita The Aviation Herald.
Jurucakap DFS berkata pengawal trafik udara segera menyedari kesilapan itu dan mengarahkan juruterbang supaya mengeluarkan pesawat dari landasan.
Beliau menegaskan bahawa kejadian itu tidak mendatangkan bahaya serta-merta kerana keadaan berjaya dikawal tepat pada masanya.
Menurut jurucakap itu, DFS telah melaporkan kejadian berkenaan kepada Biro Persekutuan Penyiasatan Kemalangan Pesawat Jerman (BFU).
Pengendali Lapangan Terbang Frankfurt, Fraport, turut mengesahkan bahawa “satu insiden” berlaku pada Selasa, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Menurut The Aviation Herald, pesawat itu kemudiannya berjaya berlepas tanpa sebarang masalah ke arah selatan seperti yang ditetapkan, tujuh minit selepas kejadian berkenaan.- Bernama-dpa




