RM6.46 bilion untuk 361 projek bekalan air di Sarawak

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Julaihi Narawi mengadakan lawatan kerja ke Projek Pembinaan Tangki Takungan Air dan Kerja-Kerja Berkaitan di Matang, Kuching.

KUCHING, 1 November: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM6.46 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan pembiayaan alternatif bagi melaksanakan 361 projek bekalan air di seluruh negeri.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, sebanyak 338 projek atau 94 peratus daripada keseluruhan projek berkenaan telah siap atau sedang dalam peringkat pembinaan.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan peruntukan itu, sebanyak RM662.7 juta diperuntukkan bagi tahun 2026.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena lawatan kerja ke tapak Projek Pembinaan Tangki Takungan Air dan Kerja-Kerja Berkaitan di Matang, di sini.

Julaihi berkata, usaha berterusan kerajaan Sarawak telah meningkatkan liputan bekalan air di seluruh negeri kepada 86.1 peratus, manakala liputan di kawasan luar bandar mencapai 72 peratus.

“Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak merangkumi pembinaan serta naik taraf 32 loji rawatan air utama dan pembangunan saluran paip grid sepanjang 2,934 kilometer yang menghubungkan kawasan dari wilayah selatan hingga utara.

“Sementara itu, projek di Matang yang dilaksanakan oleh Sarawak Water merangkumi pembinaan dua tangki takungan aras pertengahan berkapasiti 33 juta liter setiap satu dan sebuah tangki aras tinggi berkapasiti sembilan juta liter, selain kerja-kerja naik taraf sistem pam serta pemasangan saluran paip.

“Setakat ini, pembinaan tangki aras pertengahan mencapai kemajuan fizikal 64.5 peratus, mendahului jadual, manakala pembinaan tangki aras tinggi mencapai 31 peratus,” jelasnya.

Tambahnya, projek tersebut akan memperkukuh kapasiti simpanan air terawat bagi memenuhi keperluan kawasan utara bandar raya Kuching, termasuk Petra Jaya, Samariang, Bako, Santubong, Rambungan, Sampadi, Stoh, FAC Matang serta sebahagian Samajaya.

“Bagi kawasan pedalaman dan terpencil yang berada di luar liputan grid, program Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) telah memberi manfaat kepada kira-kira 2,600 isi rumah di 79 kampung dan rumah panjang. Program itu juga akan diperluaskan secara berperingkat kepada kira-kira 1,300 lagi penempatan.

“Selain itu, kerajaan Sarawak memperuntukkan RM1.1 bilion bagi kerja-kerja menaik taraf dan menggantikan paip air lama serta uzur sepanjang 2,740 kilometer bagi menambah baik rangkaian paip dan mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW).

“Sebanyak 44 projek di bawah program itu telah siap, manakala 38 lagi sedang dalam pelbagai peringkat pembinaan dan baki 140 projek masih dalam peringkat prakontrak.

“Kesemua projek yang masih belum dimulakan itu disasarkan memasuki peringkat pembinaan menjelang suku kedua 2027,” ujarnya.

Oleh Masrin Affirah