SIMANGGANG: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Engkabang di sini telah melaksanakan aktiviti yang dibiayai melalui peruntukan kerajaan Sarawak menerusi program Insentif Tadbir Urus JKKK.
Ketua Kampung Tanjung Engkabang, Mohamad Yusup berkata, dana berjumlah RM5,000 yang disalurkan oleh kerajaan Sarawak melalui Pejabat Daerah Sri Aman itu akan dimanfaatkan kepada masyarakat di sekitar Kampung Tanjung Engkabang.
“JKKK Tanjung Engkabang telah membahagikan peruntukan tersebut kepada tiga kategori urus tadbir iaitu untuk pengurusan JKKK berjumlah RM1,000 untuk membeli rak fail, kertas A4, pemacu pena dan sebagainya.
“RM2,000, urus tadbir kedua iaitu keceriaan untuk membeli mesin rumput, kanopi biru, peniup udara, tangki penyembur racun, troli, peruntukan untuk demo masakan kuih muih dan dan mengadakan klinik ping pong,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Yusup berkata bagi urus tadbir ketiga iaitu kesejahteraan, dimana kategori itu telah memperuntukkan sejumlah dana berjumlah RM2,000.
“Bagi urus tadbir kesejahteraan pula, pihak kita telah membeli alat siaraya yang bernilai RM1,500 dan RM500 untuk mengadakan program gotong-royong kampung,” katanya.
Justeru itu, Mohamad Yusup berharap dana berjumlah RM5,000 yang disalurkan oleh kerajaan Sarawak itu dengan membeli pelbagai barangan dapat dimanfaatkan oleh penduduk Kampung Tanjung Engkabang dan juga Kampung Hilir Simanggang.
Sementara itu, Pemanca Abang Norin Abang Norudin telah menyempurnakan perasmian program tersebut yang turut dihadiri oleh Penghulu Rosli Ana, Ketua Kampung Haji Undom Jimi Peri, dan Ketua Kampung Masjid Baru Sri Aman Husaini Abu Talip.
Oleh Adi Safarman