Lelaki hilang ditemukan maut di celah batu

Facebook
WhatsApp
PASUKAN mencari dan menyelamat (SAR) berjaya membawa keluar mangsa menggunakan pengusung selepas ditemukan di celah batu di Bau, hari ini.

BAU: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika keluar ke kebun keluarganya pada Rabu ditemukan meninggal dunia di celah batu pada ketinggian kira-kira 20 meter di kawasan berhampiran rumahnya, hari ini.

Mangsa yang berusia 29, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 2.50 petang, kira-kira 500 meter dari rumahnya.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, mangsa dilaporkan hilang sejak 10.00 pagi, 16 September lalu selepas keluar ke kebun milik keluarganya.

Katanya, perjalanan dari rumah mangsa ke kebun berkenaan mengambil masa kira-kira 30 minit.

Ahli keluarga mangsa kemudian berusaha mencarinya di kawasan sekitar sebelum membuat laporan polis selepas gagal menemui mangsa.

“Operasi SAR hari ketiga dimulakan pada 8.10 pagi dengan pasukan tiba di lokasi pada 8.20 pagi.

“Pada 2.00 petang, operasi SAR diteruskan di Seksyen C dan Seksyen D, manakala Unit K9 menjalankan pencarian di Seksyen B dalam radius tiga kilometer,” katanya dalam kenyataan.

SEKITAR operasi menurunkan mayat mangsa yang ditemui selepas hilang sejak tiga hari lepas.

Beliau berkata, mangsa kemudian ditemukan pada 2.50 petang, kira-kira 500 meter dari rumahnya.

“Mangsa dijumpai pada ketinggian 20 meter di celahan batu. Pasukan operasi kemudian menjalankan kerja-kerja menurunkan mangsa menggunakan pengusung,” katanya.

Mangsa yang ditemukan meninggal dunia kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Operasi SAR hari ketiga membabitkan dua seksyen pencarian, iaitu Seksyen C yang meliputi kawasan sungai dan bawah bukit serta Seksyen D di kawasan berbukit.

Secara keseluruhan, operasi membabitkan 11 anggota JBPM, 11 anggota PDRM, dua anggota Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis, lima anggota APM dan 20 orang awam.

Operasi SAR ditamatkan pada 4.30 petang selepas mangsa berjaya ditemukan dan diserahkan kepada pihak polis.

Oleh Shahrul Qaizat