Lebih kurang RM80 juta bina jalan baharu hubungkan Mupong-Teluk Gelam

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol ketika ditemu bual media, hari ini. Foto UKAS

TANJUNG MANIS: Akses darat bagi penduduk sembilan rumah panjang di Mupong hingga ke Teluk Gelam bakal dipertingkat menerusi projek pembinaan jalan baharu bernilai lebih kurang RM80 juta.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol berkata, berdasarkan maklumat Jabatan Kerja Raya (JKR), projek berkenaan melibatkan pembinaan jalan berturap sepanjang 5.8 kilometer.

Selain laluan utama, skop projek turut merangkumi pembinaan tiga jalan cabang dan dua jambatan baharu bagi melengkapkan jaringan perhubungan di kawasan berkenaan.

“Perkara yang dibangkitkan tentang projek yang akan dilaksanakan dalam kawasan mereka, contohnya di Mupong ini yang menempatkan sembilan rumah panjang, akan dibina sebuah jalan sejauh hampir enam kilometer sehingga ke satu penempatan lagi yang dipanggil Teluk Gelam dan kosnya tidak kurang daripada RM80 juta.

“Antara perkara yang mereka bangkit ialah kerisauan mereka tentang orang luar yang datang untuk mengambil tanah dan sebagainya. Isu-isu tanah, ada tanah NCR dan sebagainya.

“Nasihat saya kepada mereka ialah untuk memastikan hak tanah mereka terjaga dan jangan sampai terlepas ke tangan orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Mupong selepas mengadakan lawatan kerja ke penempatan baharu Nelayan RGC, Pulau Bruit dan penempatan rumah panjang Mupong, hari ini.

DATUK Abdullah Saidol bergambar bersama yang lain di Mupong. Foto UKAS

Katanya, pembinaan jalan berkenaan dijangka memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat, khususnya penduduk Teluk Gelam yang masih bergantung kepada sungai sebagai laluan perhubungan.

Jaringan baharu itu juga akan menghubungkan kawasan Mupong dengan laluan ke Sibu dan Tanjung Manis, sekali gus meningkatkan ketersambungan antara penempatan yang terlibat.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, isu hak pemilikan tanah turut mendapat perhatian penduduk susulan pembangunan infrastruktur yang bakal dilaksanakan di kawasan berkenaan.

Justeru, beliau menasihatkan masyarakat setempat supaya menjaga kepentingan dan hak ke atas tanah masing-masing, termasuk tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), agar tidak terlepas ke tangan pihak lain apabila pembangunan semakin pesat.

Selain isu perhubungan darat dan tanah, masalah bekalan air turut menjadi antara perkara utama yang dibangkitkan penduduk Mupong memandangkan projek bekalan air masih belum sampai ke kawasan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdullah berkata, penduduk penempatan Nelayan RGC Pulau Bruit turut mengemukakan beberapa keperluan bagi memperkukuh pengurusan dan kemudahan asas komuniti berkenaan.

Antaranya termasuk permohonan supaya Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Protem ditubuhkan segera, penyediaan kemudahan jalan ke sekolah serta sistem pengurusan sampah yang lebih teratur.

Penduduk turut mencadangkan supaya penempatan itu dibangunkan sebagai komuniti berkonsepkan kebun buah-buahan sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan kawasan berkenaan.

Oleh Earl Anek